KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Situasi banjir di SABAH semakin pulih dengan hanya pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Penampang, Papar dan Membakut masih dibuka manakala kesemua mangsa di Beaufort dan Sipitang dibenarkan pulang ke rumah pagi ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah mangsa banjir dan tanah runtuh yang masih berlindung di PPS juga turun mendadak kepada 1,476 orang daripada 459 keluarga, berbanding 2,256 orang daripada 710 keluarga petang semalam.
Membakut mencatat jumlah tertinggi dengan 738 mangsa banjir daripada 247 keluarga di 13 PPS, diikuti Penampang yang menempatkan 493 mangsa banjir dan tanah runtuh daripada 141 keluarga di enam PPS, manakala satu lagi PPS di Papar dengan 245 mangsa banjir daripada 71 keluarga.
“Sebanyak 53 kampung masih terjejas pada pagi ini berbanding 120 kampung pada petang semalam dengan Penampang (24 kampung), Papar (20) dan Membakut (sembilan),” menurut kenyataan itu.
Di SARAWAK, JPBN memaklumkan 13 orang daripada tiga keluarga masih berlindung di PPS Dewan Suarah Marudi, setakat 9 pagi tadi.
Berdasarkan laman Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras sungai di stesen Long Teru dan Marudi di Miri serta di Lubok Piasau II, Limbang menunjukkan sedikit penurunan berikutan cuaca baik namun masih melebihi paras bahaya.
-- BERNAMA