KUCHING, 20 Sept (Bernama) -- Sebanyak 278,840 haiwan telah diberi vaksin di Sarawak sejak negeri itu melancarkan usaha memerangi rabies, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata untuk sepanjang tahun ini pula, 10,957 haiwan telah diberi vaksin di seluruh negeri.
“Walaupun pelbagai usaha dilaksanakan, cabaran masih wujud. Kita masih merekodkan jumlah kes yang tinggi, dengan 34 kes dilaporkan di Kuching, sembilan di Bintulu, satu di Kapit dan satu di Kota Samarahan,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Rabies Sedunia di sini hari ini.
Dr Sim berkata ujian makmal terhadap 490 sampel telah mengesan 45 kes positif, 42 daripadanya melibatkan anjing.
“Membimbangkan apabila hampir separuh daripada kes ini, iaitu 46 peratus melibatkan anjing peliharaan manakala selebihnya adalah haiwan terbiar termasuk kucing. Sarawak juga mencatatkan purata 380 kes gigitan haiwan setiap minggu,” katanya.
Dr Sim berkata peningkatan kes rabies merupakan sesuatu yang membimbangkan sambil menegaskan bahawa bukan hanya gigitan anjing, malah gigitan dan cakaran kucing juga menyumbang kepada jangkitan.
Beliau berkata cakaran juga perlu diberi perhatian serius kerana rabies boleh disebarkan melalui air liur haiwan yang dijangkiti dan cakaran boleh membawa risiko sekiranya kuku atau tapak kaki haiwan itu tercemar.
“Kita perlu mendidik masyarakat bahawa apabila kita sebut ‘gigitan anjing’, cakaran juga perlu diambil kira. Rabies boleh disebarkan melalui air liur apabila anjing atau kucing yang dijangkiti mencakar anda,” katanya.
Dr Sim berkata rabies terus menjadi ancaman serius kepada kesihatan awam di Sarawak, dengan 85 kes manusia direkodkan sejak wabak itu diisytiharkan pada 2017 dan daripada jumlah itu, 78 kes melibatkan kematian.
“Tahun ini sahaja, kita telah merekodkan dua kes kematian baharu yang menunjukkan betapa mendesaknya situasi ini,” katanya.
-- BERNAMA