KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) – Warisan budaya Malaysia menjadi tumpuan pada majlis sambutan Hari Kebangsaan di Geneva yang menyaksikan persembahan tradisional dan juadah tempatan disajikan kepada para diplomat, pegawai antarabangsa serta diaspora Malaysia.
Majlis itu dianjurkan bersama oleh Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva dan ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), bertempat di ibu pejabat Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) pada Jumaat dengan kehadiran kira-kira 250 tetamu termasuk anggota kor diplomatik, wakil pertubuhan antarabangsa dan komuniti Malaysia di luar negara.
Tetamu dihidangkan dengan juadah tradisional seperti karipap, sate dan minuman khas Malaysia teh tarik, manakala persembahan kebudayaan seperti Tarian Selamat Datang, Joget dan Zapin menyerikan acara dengan menampilkan keindahan seni budaya negara.
Video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 turut ditayangkan, memaparkan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya serta keramahan rakyat Malaysia sebagai jemputan awal kepada pelawat antarabangsa.
“Majlis ini bukan sahaja meraikan Hari Kebangsaan Malaysia tetapi juga menjadi platform untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan pelbagai hala,” menurut kenyataan perwakilan itu.
Dalam ucapannya, Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva Datuk Nadzirah Osman menekankan nilai perpaduan dan kerangka Malaysia Madani sebagai prinsip panduan pembangunan negara.
Beliau turut mengulangi komitmen Malaysia terhadap multilateralisme dan menegaskan peranan negara sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dengan penekanan kepada keterangkuman dan kemampanan di bawah Visi Komuniti ASEAN 2045.
-- BERNAMA