SUKAN

AARON-WOOI YIK TERKANDAS DI SEPARUH AKHIR MASTERS CHINA

20/09/2025 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal melangkah mara ke final Masters China 2025 selepas tewas kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di Shenzhen, Guangdong, hari ini.

Pada pertembungan separuh akhir di Shenzhen Arena itu, Aaron-Wooi Yik gagal menampilkan prestasi terbaik, menyaksikan pasangan nombor dua dunia itu mudah tumbang di tangan pilihan kelapan kejohanan, 17-21, 14-21 dalam tempoh 41 minit.

Ia merupakan kemenangan kelima Satwik-Chirag ke atas juara Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura musim ini daripada keseluruhan 16 pertemuan mereka.

Terdahulu, beregu campuran negara yang baru merangkul gelaran juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menampilkan aksi bertenaga untuk menyingkirkan pasangan tuan rumah yang juga nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 22-24, 21-19, 21-17 untuk melangkah ke final.

Tang Jie-Ee Wei akan berdepan beregu Thailand, Decaphol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dalam cubaan mereka membawa pulang gelaran berprestij itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan