AM

KENDERAAN DI LEBUH RAYA UTAMA BERTAMBAH, ALIRAN TRAFIK PERLAHAN - LLM

21/09/2025 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan setakat 10 malam ini disebabkan pertambahan kenderaan susulan orang ramai mula pulang ke kediaman masing-masing selepas cuti persekolahan berakhir hari ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) laluan E2 arah selatan, trafik perlahan dari Bandar Baru Nilai ke Bandar Ainsdale susulan insiden sebuah kereta terbakar di Kilometer (KM) 276.5 yang menyebabkan lorong kecemasan dan kiri terhalang.

“Laluan sama turut dilaporkan perlahan dari Simpang Renggam ke Kulai manakala trafik arah utara di PLUS laluan E2 pula perlahan dari Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban ke Bandar Baru Nilai,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau berkata di Lebuhraya PLUS laluan E1, aliran trafik arah utara perlahan dari Bandar Baharu ke Jawi manakala arah selatan dari Perai ke Juru.

“Sementara itu, terdapat juga kemalangan di KM110.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 arah barat dari Temerloh ke Lanchang yang menghalang lorong kiri, namun keadaan trafik di lokasi terkawal,” katanya.

Orang ramai dinasihat merancang perjalanan dengan teliti, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mematuhi had laju ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Pemandu juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini melalui talian hotline LLM di 1-800-88-7752, WhatsApp (LLM Info Trafik), X (@llmtrafik), TikTok (@llmtrafik), Facebook (Lembaga Lebuhraya Malaysia), laman sesawang www.llm.gov.my atau menerusi aplikasi mudah alih TUJU dan MyJalan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan