MELAKA, 22 Sept (Bernama) -- Menara Telekomunikasi Bukit Melaka di Banda Hilir di sini yang telah dinaik taraf ala Menara Eiffel di Perancis bakal menjadi ikon pelancongan baharu di negeri ini dalam usaha menggamit kedatangan pelancong.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata menara telekomunikasi pertama dan tertua di Malaysia itu yang masih berfungsi, dinaik taraf dengan peruntukan kira-kira RM270,000.
Beliau berkata kerja-kerja menarik taraf menara setinggi 76 meter itu melibatkan pembaikan struktur serta hiasan lampu pelbagai warna sebagai tarikan ikon pelancongan baharu Melaka itu.
"Inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) ini merupakan sebahagian daripada persiapan MBMB menjelang Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang bakal berlangsung dari 27 hingga 29 Sept ini.
"Dengan adanya produk pelancongan baharu ini, pelancong berpeluang mengabadikan kenangan mereka dengan latar belakang bangunan merah dan Menara Jam ketika berada di Melaka," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyempurnaan Program Road to World Tourism Day (WTD) 2025 oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Shadan berkata selain menara berkenaan, MBMB juga melancarkan Unit Berkuda Pelancongan yang akan ditempatkan di sekitar Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir pada hujung minggu dan WTD 2025.
Beliau berkata unit berkuda itu melibatkan dua ekor kuda dan enam penguat kuasa MBMB bagi menjalankan khidmat pelancongan dan menjaga keselamatan pelancong selain menjadi tarikan baharu di kawasan berkenaan.
Sementara itu, katanya sebagai satu daripada agensi dalam jawatankuasa penyelaras WTD dan WTC 2025, MBMB telah bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi kelancaran program antarabangsa itu yang bakal dihadiri lebih 150 menteri pelancongan dari seluruh dunia dan anggota Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO).
"MBMB terlibat dalam memastikan kelancaran lalu lintas dan lokasi terlibat dengan program berkenaan berada dalam keadaan ceria serta bersih agar delegasi yang hadir selesa dan selamat,” katanya.
-- BERNAMA