KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Situasi banjir di Sabah semakin pulih dengan hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi melibatkan daerah Penampang dan Papar.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan setakat pagi ini, sebanyak 90 orang daripada 22 keluarga masih berlindung di PPS.
“Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Papar melibatkan lapan orang sahaja manakala jumlah mangsa kejadian tanah runtuh di Penampang 82 orang. Hanya dua kampung masih terjejas masing-masing di Papar dan Penampang,” menurut kenyataan itu.
JPBN Sabah turut memaklumkan 13 orang maut akibat kejadian tanah runtuh manakala seorang lemas kerana banjir di negeri itu setakat ini.
Di Sarawak, JPBN memaklumkan jumlah mangsa yang berlindung di PPS Dewan Suarah Marudi, Miri kekal 16 orang daripada lima keluarga pada pagi ini.
Sementara itu, data daripada laman Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan sungai di stesen Long Teru masih berada pada paras 8.47 meter (m) pagi ini berbanding 8.69 m petang semalam, masih melebihi paras bahaya pada 8 m, namun menunjukkan trend menurun.
Turut menunjukkan trend menurun ialah paras air di stesen Marudi, iaitu 3.92 m berbanding 4.12 m semalam, melepasi paras bahaya 3.25 m.
-- BERNAMA