AM

AHMAD ZAHID SIFATKAN BUDI95 SEBAGAI TINDAKAN BERPRINSIP

22/09/2025 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyasaran subsidi petrol RON95 melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai tindakan berprinsip dan penuh keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat.

“Sebagai sebahagian daripada kepimpinan negara, saya melihat keputusan ini sebagai tindakan berprinsip dan penuh keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat.

“Insya-Allah, kita akan terus mendukung usaha Kerajaan demi Malaysia yang lebih adil, mampan dan inklusif,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Melalui inisiatif BUDI95, harga RON95 untuk rakyat Malaysia dikurangkan daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter bermula 30 Sept 2025.

Selain itu, hanya rakyat Malaysia akan menikmati subsidi ini manakala bukan warganegara dan syarikat besar akan membayar harga tanpa subsidi sekitar RM2.60 seliter.

Sementara itu, dalam satu temu bual khas bersama Bernama di Putrajaya hari ini, Ahmad Zahid berkata pengumuman Perdana Menteri mengenai BUDI95 jelas menunjukkan usaha berterusan kerajaan untuk meringankan beban pengguna dengan menawarkan harga subsidi RON95 yang jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.

Beliau berkata perbandingan harga dengan negara jiran turut menunjukkan bahawa Malaysia kekal menawarkan antara harga bahan api terendah di rantau ini.

“Brunei memang rendah kerana negara pengeluar dan penduduknya kecil… tetapi di Singapura, harga petrol melebihi RM9 seliter... subsidi bersasar ini jelas memanfaatkan warganegara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai golongan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan menetapkan bahawa rakyat Malaysia layak menerima manfaat di bawah inisiatif BUDI95 bagi pembelian sehingga 300 liter sebulan bagi setiap kenderaan persendirian, melebihi purata penggunaan semasa yang dianggarkan sekitar 250 liter.

“Had 300 liter memberi ruang kepada mereka yang mempunyai perjalanan jauh... untuk e-hailing, had ini tidak terpakai... mereka dibenarkan melebihi 300 liter dengan syarat mendaftar mengikut kategori yang ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan