IPOH, 22 Sept (Bernama) -- Lantikan jururawat terlatih secara tetap dijangka membantu mengisi kira-kira 14,000 kekosongan jawatan itu di seluruh negara pada masa ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata langkah pengecualian lantikan secara kontrak interim jawatan berkenaan mulai tahun ini merupakan antara reformasi penting kementerian berkenaan dalam usaha menambah petugas di fasiliti kesihatan di seluruh negara.
"Pada masa ini hingga Ogos lepas, terdapat 83,158 perjawatan bagi jururawat dan daripada jumlah ini, sebanyak 69,158 diisi, kita mempunyai 14,000 defisit jawatan berkenaan. Jawatan secara kontrak juga telah kita serap secara tetap," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Zon Semenanjung 2025 di sini hari ini.
Dzulkefly berkata langkah itu juga bertujuan merapatkan jurang nisbah jururawat kepada penduduk yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu sekurang-kurangnya enam jururawat bagi setiap 1,000 penduduk.
Pada masa ini, katanya statistik menunjukkan nisbah 3.8 jururawat bagi setiap 1,000 penduduk Malaysia.
Beliau berkata selain lantikan tetap, pengambilan jururawat pelatih juga telah ditingkatkan daripada 1,000 orang kepada 3,000 orang setahun, iaitu lonjakan 200 peratus dengan peruntukan khusus berjumlah RM25 juta.
Sementara itu, dalam ucaptamanya Dzulkefly berkata ILKKM diunjur melahirkan sebanyak 18,000 jururawat tambahan menjelang 2030.
Dalam pada itu, pada tahun ini sebanyak 6,316 siswazah kesihatan telah dilahirkan melalui 41 program peringkat Diploma Lanjutan/Pos Basik, 13 program bagi peringkat Diploma/Sijil dan satu Diploma Kejururawatan (Program Peralihan).
Sebanyak 586 graduan menerima skrol yang disampaikan oleh Dzulkefly pada sesi konvokesyen hari ini.
Buat julung-julung kalinya, graduan terbaik pada konvokesyen ini diraikan melalui pengiktirafan berprestij, iaitu Anugerah Cemerlang Akademik, Anugerah Cemerlang Kokorikulum, Anugerah Emas dan Anugerah Perdana.
-- BERNAMA