PUTRAJAYA, 22 Sept (Bernama) -- Kecerdasan buatan (AI) telah berkembang daripada sekadar idea masa depan kepada keutamaan negara di bawah kerangka Malaysia MADANI, kata Pemangku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Faizal Mohamed.
Beliau berkata perjalanan Malaysia ke arah menjadi sebuah negara pintar dipandu oleh rangka kerja strategik seperti Pelan Tindakan AI Kebangsaan, inisiatif MyDigital dan Rancangan Malaysia ke-12.
"Kesemua rangka kerja ini mengiktiraf bahawa AI bukan sekadar alat untuk meningkatkan kecekapan. Ia adalah pemangkin kepada daya tahan ekonomi, inovasi sektor awam dan kemajuan sosial," katanya pada majlis perasmian Seminar Smart Strategy for Smart Nation: AI as a Driving Force for Business and Society di sini hari ini
Turut hadir Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB) Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul.
Faizal berkata AI tidak lagi terhad kepada makmal penyelidikan atau fiksyen spekulatif sebaliknya menjadi kuasa transformasi yang telah diserap dalam cara hidup, bekerja, belajar dan memimpin.
"Daripada perancangan bandar ke logistik serta daripada perkhidmatan kewangan ke sektor pertanian, AI dengan pantas telah mendefinisikan semula segala kemungkinan.
"Seiring dengan kemajuan ini, kita juga harus mendepani cabaran besar yang melibatkan etika data dan bias algoritma keselamatan siber, privasi serta akses yang saksama," katanya.
Faizal berkata kesemua ini bukan sekadar isu teknikal malah amat berkait rapat dengan masyarakat yang memerlukan pendekatan strategik, inklusif dan beretika.
"Inilah sebabnya strategik pintar menjadi amat penting... sebuah negara pintar bukan hanya dibangunkan oleh teknologi sebaliknya oleh wawasan, tadbir urus dan kerjasama… ia dibangunkan oleh strategi yang holistik, berwawasan, inklusif dan bersandarkan tanggungjawab yang beretika," katanya.
Beliau berkata institusi akademik memainkan peranan asas dalam membentuk tenaga kerja masa depan Malaysia.
"Melalui penyelidikan, pembangunan kurikulum dan kajian kritikal, institusi kita perlu melahirkan pengamal AI yang beretika serta peka sosial, yang bukan sahaja memahami cara AI berfungsi tetapi juga mengapa ia penting dan bagaimana ia harus ditadbir," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa sementara golongan akademik membangunkan kerangka teori dan etika, tokoh industri pula berada di barisan hadapan dalam penggunaan AI secara praktikal.
“Kemampuan mereka untuk menerapkan AI ke dalam strategi perniagaan adalah penting bagi kejayaan organisasi dan ke arah memperkukuh ekosistem digital negara.
“Pembuat dasar dan pihak berkepentingan dalam masyarakat sivil pula perlu memastikan bahawa AI digunakan untuk memperkasa bukannya menggantikan; menyatukan bukannya memecah-belahkan serta membina kepercayaan dan bukan menghakisnya… kesemua unsur inilah yang membentuk teras kepada ekosistem AI Malaysia," katanya.
Faizal berkata AI akan terus membentuk ekonomi, masyarakat dan institusi namun sama ada ia memberi manfaat kepada rakyat bergantung kepada strategi yang diguna pakai, nilai yang dipegang dan kerjasama yang dijalin.
"Biarlah hari ini menjadi satu langkah ke hadapan ke arah Malaysia dan ASEAN yang bukan hanya maju daripada segi teknologi tetapi juga berlandaskan etika, inklusif serta berdaya saing di peringkat global," katanya.
Seminar dua hari itu dianjurkan oleh UKM menerusi Endowmen RHB-UKM.
Acara itu menjadi platform kerjasama yang menghimpunkan tokoh pemikir, inovator, ahli akademik dan pakar industri bagi meneroka peranan penting AI dalam membentuk semula masyarakat serta memacu kemajuan negara.
-- BERNAMA