AM

PENGGUNA DI TERENGGANU DISARAN JIMAT GUNA AIR ELAK KADAR BIL TINGGI

22/09/2025 06:04 PM

KUALA TERENGGANU, 22 Sept (Bernama) -- Pengguna di Terengganu disarankan supaya berjimat dalam penggunaan air harian bagi mengelakkan kadar bayaran lebih tinggi susulan pelarasan tarif yang berkuat kuasa sejak 1 Ogos lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Hanafiah Mat berkata kenaikan tarif air itu hanya memberi kesan minimum kepada isi rumah biasa dengan empat hingga enam penghuni kerana purata penggunaan air masih di bawah 30 meter padu sebulan.

“Saya ingin menasihatkan semua pengguna supaya menggunakan air di bawah 35 meter padu kerana jika melebihi 35 meter padu, kenaikannya hampir 100 peratus.

“Sebagai contoh, bil rumah saya sebelum ini sekitar RM100 namun sekarang jadi RM121, maka kenaikan sekitar RM20 hingga RM27. Saya berpendapat kenaikan ini tidak membebankan,” katanya selepas Program Transformasi Perkhidmatan BAS.MY Kuala Terengganu di Pasar Payang di sini hari ini.

Hanafiah berkata hasil kutipan daripada pelaksanaan tarif baharu itu akan digunakan bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan termasuk bayaran caj elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), selain menaik taraf infrastruktur bekalan air.

“Apabila kami mendapat duit (hasil kutipan tarif air) ini, kami akan baiki paip air terutama tempat kritikal di kawasan Kuala Nerus. Insya-Allah, kerja-kerja akan dimulakan tahun depan. 

“Kami juga sudah dapat kelulusan peruntukan RM20 juta untuk membaiki paip di kawasan berkenaan pada tahun depan,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial rungutan pengguna mendakwa tarif baharu naik mendadak sehingga mencecah sekali ganda.

Sebelum ini, Bernama melaporkan kadar tarif air bagi pengguna domestik di Terengganu dinaikkan sebanyak lapan sen setiap meter padu bagi penggunaan hingga 20 meter padu sebulan, bermula 1 Ogos tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) Abdul Karim Endut berkata dengan kadar baharu itu, caj penggunaan minimum untuk pengguna domestik berubah kepada RM6.60 sebulan.

Beliau bagaimanapun berkata subsidi 20 meter padu air sebulan bagi isi rumah B40 di negeri berkenaan akan dikekalkan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan