AM

OPERASI LUPUS GAS BUTANA DI KERTEH AMBIL MASA TIGA HARI

22/09/2025 06:57 PM

CHUKAI, 22 Sept (Bernama) -- Operasi melupus sisa gas butana yang bocor di kawasan Petronas Gas Bhd (PGB) di tapak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua atau tiga hari lagi. 

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata pemeriksaan di tujuh lokasi yang ditempatkan alat pengesan gas oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Petronas mendapati bacaan di lima tempat ialah kosong kecuali di muka terowong yang berlakunya kebocoran. 

Beliau berkata hal itu menunjukkan keadaan adalah terkawal dan benar-benar selamat untuk penduduk di kawasan berhampiran.

"Alhamdulillah hanya dua lokasi iaitu di muka terowong, iaitu kawasan yang berlaku kebocoran yang menunjukkan ada bacaan gas. 

"Oleh sebab keadaan sudah benar-benar selamat, esok kita akan benarkan 20 penghuni tahfiz yang dipindahkan Ahad lepas pulang ke madrasah mereka untuk meneruskan aktiviti seperti biasa," katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kerteh dekat sini hari ini.

Bagaimanapun Mohd Razi berkata aktiviti pembinaan ECRL masih dihentikan untuk sementara waktu sehingga gas berkenaan dapat dilupuskan sepenuhnya.

Menurut beliau kerja-kerja membakar sisa gas menggunakan dua alat pembakaran mudah alih masih berjalan dengan kawalan serta pemantauan rapi oleh pasukan Hazmat dan Petronas.

Katanya setakat ini pihak polis masih mengekalkan jarak selamat iaitu sekitar radius 500 meter untuk beroperasi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Pihak Petronas telah memasang satu lagi alat pembakaran mudah alih kira-kira 11.30 malam tadi di kawasan BU 104, iaitu di hujung kiri bahagian injap yang paling hampir dengan tempat gas bocor untuk mempercepat proses pembakaran.

"Jika tiada masalah, Petronas juga akan melakukan prosedur memasukkan nitrogen ke dalam paip bagi memastikan saki-baki butana dapat dilupuskan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba Terengganu Mohd Khairiri Mat Resad berkata  berkata pihaknya menggunakan dua peralatan berteknologi tinggi untuk mengesan kehadiran gas berbahaya dan mudah terbakar di lokasi terlibat.

Beliau berkata proses mengesan dan mengambil bacaan gas dijalankan setiap dua jam oleh pasukan Hazmat.

"Selain itu, Petronas dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga menggunakan dron yang dilengkapi alat khas untuk membuat pemantauan dan mengesan keberadaan gas dari udara.

"Menurut maklumat daripada Petronas, proses melupuskan sisa butana mengambil masa agak lama  kerana proses pembakaran tidak boleh dibuat secara besar kerana akan memberikan kesan kepada keadaan sekeliling," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan