PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersedia melanjutkan waktu operasi kaunter bagi urusan penggantian cip MyKad rosak sekiranya ada keperluan, susulan pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) .
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah berkenaan bagi memastikan urusan berjalan lancar pada hari pelaksanaan BUDI95 yang bermula 30 Sept ini.
"Kita tak ada had (pemberian nombor giliran untuk menggantikan MyKad), bahkan saya beritahu dengan pekerja JPN kalau kerana pengumuman ini (BUDI95) ramai orang berurusan dan kalau perlu tambah masa, tambah.
"Sebenarnya (penambahan waktu operasi) itu praktis (yang diamalkan JPN)," katanya kepada pembeirta selepas tinjauan pelaksanaan hari pertama penggantian cip MyKad yang rosak secara percuma, di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata setakat ini purata penggantian MyKad bagi kerosakan cip mencatat kira-kira 40,000 permohonan sebulan berbanding purata 30,000 sebelum ini.
"Saya mengambil peluang ini untuk kesekian kalinya menggesa orang ramai gunakan julat masa yang kami umumkan ini, iaitu hari ini hingga 7 Okt depan. Ada masa yang munasabah untuk memastikan pertama cip pada Mykad kita itu masih berfungsi dan kedua kalau diketahui cip rosak maka segera ke pejabat JPN.
"Kalau datang dalam tempoh sekarang hingga 7 Okt depan untuk tujuan penggantian cip Mykad yang rosak, tidak dikenakan sebarang bayaran. Apapun penggantian MyKad itu adalah satu keperluan sebab kita tinggal lebih kurang seminggu saja lagi (pelaksaan BUDI95)," katanya menambah sebelum ini pemegang MyKad dikenakan bayaran RM10 bagi urusan pengantian MyKad disebabkan cip rosak.
Mengenai tinjauan hari ini, Saifuddin Nasution berkata beliau berpuas hati dengan kelancaran urusan penggantian MyKad di kaunter Ibu Pejabat JPN.
"Berdasarkan peninjauan dalam tempoh 30 minit tadi, saya sempat berinteraksi dengan orang ramai yang datang dari sekitar Putrajaya, Semenyih, Kajang, Salak Tinggi, Bandar Putera dan Subang.
"Ramai yang datang memilih untuk menjalankan urusan di sini kerana semua urusan di sini siap dalam masa sehari. Maksudnya dari segi sistem penyampaian, Ibu Pejabat JPN menjadi pilihan kerana orang ramai boleh mendapatkan urusan mereka selesai termasuk dalam penggantian MyKad," katanya.
Sementara itu, seorang pesara Cairul Nadzim Mohd Yusof, 51, dari Cyberjaya berkata dia ke kaunter JPN hari ini untuk menggantikan MyKad dan menukar alamat tempat tinggal.
"Setakat ni, bagi saya waktu menunggu okey cuma harap boleh tambah baik lagi supaya jimat masa menunggu. Bagi saya perkhidmatan yang diberikan adalah lebih baik dari sebelumnya," katanya.
Mohd Ibnur Farik Md Nordin pula berkata berikutan urusan di ibu pejabat lebih cepat, dia memilih untuk datang sendiri dari Segamat, Johor bagi menukar MyKad yang rosak.
"Saya dapat tahu cip rosak masa nak tebus Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Bila dapat tahu isi minyak (subsidi petrol RON95) guna MyKad, saya nak segerakan urusan ini untuk kemudahan masa depan," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa 30 Sept ini, melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.
Warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu sah, layak menerima subsidi berkenaan.
-- BERNAMA