JENAYAH & MAHKAMAH

JIM KUALA LUMPUR TAHAN 38 WARGA ASING DALAM SERBUAN TIGA LOKASI DI IBU KOTA

23/09/2025 01:06 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menahan 38 warga asing dan dua majikan tempatan dalam serbuan di tiga lokasi sekitar ibu kota semalam, selepas mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata warga asing berkenaan terdiri daripada 21 warga Bangladesh, 13 warga India, dua warga Indonesia serta masing-masing seorang warga Nepal dan Pakistan.

Katanya dua warga tempatan turut ditahan kerana menggajikan warga asing tanpa permit sah.

Wan Mohammed Saupee berkata kesemua warga asing dan majikan berkenaan ditahan dalam serbuan ke atas sebuah restoran di Bandar Menjalara dan Bazar Lorong Haji Taib dan sebuah hotel berkonsepkan apartment di sekitar Dang Wangi.  

"Antara kesalahan yang dikesan ialah mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Sek.15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Menurutnya, semua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Depot JIM Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Operasi itu disertai seramai 20 pegawai dan anggota JIM Kuala Lumpur dengan kerjasama penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan