AM

MELAKA LAKSANA BENGKEL PENDIGITALAN PERKASA USAHAWAN KOPERASI

23/09/2025 08:59 PM

MELAKA, 23 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka akan menganjurkan bengkel pendigitalan untuk usahawan koperasi di negeri itu pada Oktober dan November ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata inisiatif berkenaan dilakukan bagi memperkasa usahawan koperasi selaras dengan perkembangan teknologi terkini dalam sektor perniagaan, sekali gus dapat meningkatkan ekonomi mereka.

“Kami lihat ilmu pendigitalan sangat penting pada hari ini, khususnya kepada usahawan koperasi untuk meningkatkan kemahiran mereka selain memartabatkan sektor perniagaan yang diceburi.

“Bengkel ini terbuka kepada semua usahawan koperasi di bawah SKM dalam usaha membantu menaik taraf status mereka daripada koperasi mikro ke koperasi kecil seterusnya ke koperasi sederhana dan lain-lain,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Projek Rasa Melaka by Angkasa, yang turut dihadiri Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan Pengarah SKM Melaka Mustafa Kamal Mohd Nor.

Seah berkata setakat ini, terdapat 504 koperasi pelbagai sektor berdaftar di bawah SKM Melaka dengan keanggotaan sebanyak 173,000 ahli, dan daripada jumlah itu 26 daripadanya adalah koperasi besar dan sederhana, koperasi kecil (61) dan koperasi mikro (417).

Dalam pada itu, beliau berkata SKM negeri bersedia membantu mana-mana koperasi yang tidak aktif atau telah berhenti beroperasi bagi membantu mereka memulakan semula operasi perniagaan.

Seah berkata bantuan berkenaan meliputi pelbagai aspek seperti bimbingan dan dana dalam bentuk modal serta peralatan perniagaan agar dapat memulakan operasi.

“Kami akan bimbing dan pantau koperasi ini dari semasa ke semasa supaya dapat bangun semula dan kekal dalam industri koperasi yang diceburi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pada tahun ini, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM300,000 kepada SKM Melaka untuk melaksanakan pelbagai program, aktiviti, bantuan dan dana bagi memperkasa sektor koperasi di negeri itu.

“Peruntukan yang disalurkan itu meningkat berbanding RM200,000 pada tahun lepas, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk membantu gerakan koperasi di Melaka,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan