Oleh Ahmad Erwan Othman
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Tumpuan hari ketiga Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 hari ini, bakal terarah kepada sesi perundingan antara kalangan menteri perkumpulan itu dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Jamieson Greer.
Agenda mesyuarat itu bertujuan memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara Asia Tenggara dan Washington dalam realiti persekitaran ekonomi global yang mencabar.
Pertemuan AEM–USTR itu dijangka menumpukan usaha mengukuhkan integrasi atau penyepaduan ekonomi serantau, meningkatkan daya tahan rantaian bekalan selain meneroka peluang kerjasama baharu dalam sektor-sektor pesat berkembang seperti perdagangan digital dan ekonomi hijau.
Ini juga sebahagian daripada perundingan lebih meluas membabitkan rakan dialog serta pertubuhan antarabangsa yang menjadi agenda hari ketiga mesyuarat.
Mengikut program atur cara rasmi, jadual hari ini akan dimulakan dengan Perundingan AEM-Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) dan disusuli dengan Perundingan AEM-Republik Korea Selatan (ROK) serta Perundingan AEM-Kementerian Perdagangan China (MOFCOM) ke-24.
Menteri Perdagangan Korea Selatan Yeo Han-Koo, Timbalan Menteri Perdagangan China Yan Dong, Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Hong Kong Algernon Yau serta Ketua Pengarah WIPO Daren Tang, dijangka berkongsi pandangan masing-masing dalam mesyuarat itu.
Perbincangan itu akan diteruskan pada sesi makan tengah hari dalam Perundingan AEM+3 kali ke-28 dan disambung dengan Perundingan AEM–USTR dan Perundingan AEM–Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun ke-31 yang akan dipengerusikan oleh Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Muto Yoji.
Kesemua mesyuarat itu dijangka menegaskan lagi usaha kolektif ASEAN untuk menangani cabaran perdagangan dan pelaburan selain mengukuhkan kedudukan rantau ini sebagai pemain utama dalam landskap ekonomi global.
Program hari ini akan diakhiri dengan majlis makan malam gala yang dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kapasiti Pengerusi ASEAN dan mengetengahkan kepentingan membina hubungan, termasuk institusi yang seiringan dengan rundingan-rundingan rasmi.
ASEAN dianggotai 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Di bawah teraju Malaysia yang menggalas kepengerusian ASEAN 2025, Mesyuarat AEM ke-57 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan akan menghimpunkan lebih 500 delegasi dari negara-negara anggota blok berkenaan.
Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan,” jadual AEM sarat dengan 20 mesyuarat dan program sampingan sepanjang tempoh 22-26 September di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Sejak menyertai perkumpulan itu, kesempatan kali ini adalah yang kelima bagi Malaysia selaku pengerusi ASEAN selepas menggalas tanggungjawab itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA