AM

SULTAN NAZRIN SHAH BERKENAN RASMI COACH, LANCAR BUKU WIRA WIRAWATI KASTAM

24/09/2025 02:43 PM

MELAKA, 24 Sept (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan pembangunan Projek Container Akademi Kastam Malaysia (AKMAL) Challenge (CoACH) dan Pelancaran Buku Wira dan Wirawati Kastam di AKMAL Melaka di sini hari ini.

Baginda yang tiba bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim pada 11.20 pagi diiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Abdul Rahman.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Sementara itu, Anis Rizana berkata CoACH merupakan satu inovasi latihan berkonsepkan cabaran fizikal dan mental yang dirangka dalam bentuk simulasi.

"Ia bukan sekadar medan untuk menguji kecergasan semata-mata tetapi juga ruang pembentukan karakter, daya tahan mental, kepimpinan serta kerja berpasukan," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Anis Rizana berkata CoACH dirangka dengan empat fungsi utama yang menjadi teras pelaksanaannya iaitu sebagai platfom latihan dengan menyediakan ruang cabaran dalam kontena yang dirancang dengan teliti, lengkap dengan modul yang tersusun dan dijamin selamat untuk semua peserta.

Menurutnya, ia juga berperanan membangunkan sahsiah dengan menggilap kepimpinan, meningkatkan ketahanan mental serta memperkukuh kekuatan fizikal peserta melalui aktiviti mencabar.

"Ia turut berfungsi sebagai simulasi operasi yang membolehkan peserta berlatih dalam suasana bertekanan tinggi, hampir sama dengan situasi sebenar yang mungkin dihadapi dalam tugasan lapangan.

"Selain itu, ia menjadi medium refleksi diri yang membolehkan setiap peserta menilai potensi dalaman, mengenali kekuatan serta memperbaiki kelemahan diri masing-masing," katanya.

Beliau berkata keunikan CoACh adalah pada pendekatannya yang menyeluruh, menggabungkan cabaran fizikal seperti ruang gelap, sempit, tekanan masa dengan cabaran mental seperti membuat keputusan pantas, strategi dan kerjasama berpasukan.

"Inilah yang diperlukan dalam membentuk pegawai kastam yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berjiwa kental, berani dan teguh berintegriti," katanya.

Berhubung Buku Wira Wirawati Kastam terbitan AKMAL, Anis Rizana berkata ia dihasilkan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada pegawai serta anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang menunjukkan keberanian dan ketabahan dalam melaksanakan tugas.

Katanya, buku itu memuatkan koleksi catatan, pengorbanan dan rekod perjuangan warga JKDM yang menjadi benteng keselamatan negara di pintu masuk serta sempadan.

“Buku ini mempunyai dua tujuan penting, iaitu mendokumentasikan kisah inspirasi sebagai rujukan dan memberikan motivasi kepada seluruh warga JKDM untuk mengekalkan semangat serta keberanian dalam melaksanakan amanah perkhidmatan awam,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan