KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Pengecualian siling subsidi RON95 sebanyak 300 liter sebulan kepada pemandu e-hailing mulai 30 Sept ini dilihat menepati keperluan industri gig yang bergantung sepenuhnya kepada penggunaan bahan api tersebut bagi menjana pendapatan harian.
Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) Mohd Azril Ahmat menyambut baik keputusan kerajaan itu memandangkan kelayakan 300 liter sebulan yang ditetapkan kepada pengguna biasa tidak mencukupi untuk pemandu e-hailing sepenuh masa.
“Secara purata, penggunaan harian pemandu e-hailing boleh mencecah 25 hingga 30 liter petrol... jika dihitung, 300 liter hanya mampu bertahan sekitar 10 hari sahaja, jadi memang tidak mencukupi untuk kami.
“Bagi memenuhi keperluan kerja sebulan, sekurang-kurangnya antara 700 hingga 800 liter diperlukan oleh pemandu e-hailing,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Bagaimanapun, Mohd Azril menekankan pelaksanaan pengecualian had subsidi kepada pemandu e-hailing perlu disertai dengan mekanisme pengesahan yang ketat bagi mengelakkan penyalahgunaan dan risiko ketirisan yang boleh menjejaskan tujuan asal subsidi bersasar.
“Kerjasama antara kerajaan dan syarikat e-hailing diperlukan bagi mendapatkan data tepat sekali gus mengelakkan penyalahgunaan termasuk oleh pihak yang memohon pengecualian had tetapi hanya melakukan satu atau dua perjalanan sebulan.
“Mekanisme penentuan perlu diperhalusi bagi memastikan hanya pemandu sebenar menerima manfaat dan ia digunakan khusus untuk e-hailing, dan kami (persatuan) masih berbincang mengenai kaedah terbaik bagi memastikan pelaksanaan yang lebih tepat,” katanya.
Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter menerusi penyasaran subsidi di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Menurut Kementerian Kewangan, sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 Sept manakala bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 Sept diikuti 30 Sept bagi 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif.
Di bawah BUDI95, semua warganegara akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter namun bagi pemandu e-hailing, mereka dikecualikan dan boleh memohon untuk nilai yang lebih tinggi.
Bagi pemandu e-hailing Ahmad Kamal Mohamed Hussin, 59, langkah kerajaan itu memberi kesan langsung kepada pengurangan kos operasi harian golongan itu.
“Melalui inisiatif ini, kami dapat menjimatkan perbelanjaan petrol sekali gus memberi peluang kepada pemandu menambah pendapatan dengan lebih selesa,” katanya.
Ahmad Kamal berkata penjimatan hasil subsidi berkenaan boleh digunakan untuk menampung kos lain seperti penyelenggaraan kenderaan dan membantu mengurangkan beban cabaran lain yang dihadapi pemandu e-hailing.
Sementara itu, seorang penghantar p-hailing Nurhazirah Mohd Anuar, 26, berkata penurunan harga RON95 sebanyak enam sen seliter mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pihak namun memberi impak besar kepada golongan sepertinya.
“Biasanya, belanja untuk mengisi minyak kenderaan sahaja boleh mencecah RM600 hingga RM800 sebulan bergantung pada jarak dan jumlah penghantaran... itu belum termasuk kos penyelenggaraan... jadi, walaupun penurunan enam sen ini nampak kecil, ia tetap memberi kelegaan,” katanya.
Nurhazirah turut menyuarakan harapan agar subsidi bersasar itu dikekalkan serta ditambah baik memandangkan pendapatan p-hailing tidak menentu kerana terdedah kepada faktor luaran seperti cuaca dan permintaan.
-- BERNAMA