KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Semua restoran, kafe dan bistro IKEA di seluruh negara kini disahkan halal secara rasmi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Mengumumkan perkara itu, IKEA Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan pencapaian berkenaan secara rasmi mengiktiraf amalan halal yang telah lama dipraktikkan syarikat itu, sekali gus mengukuhkan kepercayaan dan keyakinan pelanggan terhadap setiap hidangan yang disajikan.
“Selama hampir tiga dekad, prinsip halal telah menjadi panduan IKEA dalam penyediaan makanan di Malaysia, bermula daripada perolehan bahan yang diperakui halal, pematuhan piawaian penyediaan yang teliti, sehinggalah larangan tegas terhadap penggunaan bahan yang tidak dibenarkan.
“Pensijilan ini kini secara rasmi mengiktiraf serta memperkukuh amalan tersebut, sambil mengekalkan piawaian tinggi IKEA terhadap kualiti dan keselamatan, sekali gus memberi rakyat Malaysia lebih keyakinan serta ketenangan fikiran,” menurut kenyataan itu.
IKEA menjelaskan pensijilan itu diperoleh susulan proses pemeriksaan yang ketat serta kerjasama rapat dengan JAKIM, yang merangkumi pengesanan sumber bahan, proses kerja dapur dan latihan petugas.
“Pengiktirafan ini turut memperkukuh janji IKEA Malaysia untuk mencipta kehidupan harian yang lebih baik bukan sahaja melalui kelengkapan rumah, tetapi juga sajian yang mencerminkan nilai, cita rasa dan harapan masyarakat tempatan,” menurut kenyataan itu.
Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia Malcolm Pruys berkata pensijilan itu mencerminkan penghormatan pihaknya terhadap kepercayaan, budaya dan komuniti.
“Kasih sayang rakyat Malaysia terhadap makanan kami sentiasa menjadi inspirasi kami dan itu adalah sesuatu yang amat kami hargai. Di Malaysia, halal bukan sekadar pematuhan, tetapi juga soal kepercayaan, penghormatan budaya dan tuntutan keagamaan.
“Pensijilan ini akan memperkukuh lagi ikatan yang kami kongsi bersama dengan rakyat Malaysia serta membuktikan kami menghargai perkara yang paling penting bagi mereka,” katanya dalam kenyataan sama.
Pruys berkata pihaknya sentiasa meneroka cara untuk menjadikan pengalaman makanan di IKEA lebih inklusif, mudah diakses dan berpatutan.
“Perkara ini juga termasuk usaha memperkenalkan lebih pilihan yang lestari, mengurangkan pembaziran makanan, serta menyajikan hidangan yang bukan sahaja enak, tetapi juga lebih baik untuk manusia dan bumi ini,” katanya.
-- BERNAMA