AM

PM ANWAR DIANUGERAHKAN GRAND COLLAR OF THE ORDER OF TIMOR-LESTE

24/09/2025 07:28 PM

Daripada V. Sankara

DILI (TIMOR-LESTE), 24 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima Grand Collar of the Order of Timor-Leste, anugerah tertinggi negara itu sebagai pengiktirafan terhadap bantuan beliau dan peranan Malaysia selama ini dalam menyokong aspirasi Timor-Leste untuk menyertai ASEAN, khususnya selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Anugerah berkenaan disampaikan Presiden Dr José Ramos-Horta kepada Anwar selepas beliau menyampaikan Syarahan Presiden bertajuk "ASEAN & Peranan Timor-Leste" di Istana Presiden di sini.

“Bagi pihak rakyat Malaysia, saya dengan penuh rasa rendah diri menerima (anugerah) ini dan mengucapkan terima kasih atas penghargaan tertinggi dan paling berprestij daripada Timor-Leste,” kata Anwar. 

Anugerah itu diberikan kepada individu yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang kepada negara.

Penerima sebelum ini termasuk pemimpin antarabangsa seperti Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan diplomatik dan pembangunan Timor-Leste.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan