AM

TIKTOK SHOP LANCAR PAKEJ RANGSANGAN BERNILAI RM20 JUTA, PERKASA PMKS MENERUSI #JOMLOKAL

25/09/2025 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Platform e-dagang yang dipercayai di Malaysia, TikTok Shop hari ini mengumumkan suntikan tambahan RM20 juta kepada ekonomi digital tempatan melalui Pakej Rangsangan #JomLokal Booster.

TikTok Shop dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu sebagai sokongan terhadap usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan serta produk buatan Malaysia.

Pengarah Kanan Perkongsian Strategik TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz berkata sejak 2023, sumber khusus dan pendedahan berterusan yang diberikan kepada ribuan PMKS Malaysia di bawah inisiatif #JomLokal, telah berjaya memacu pertumbuhan mampan bagi produk buatan tempatan.

“Dengan Pakej Rangsangan #JomLokal Booster baharu sebanyak RM20 juta ini, ia memperkukuh komitmen kami dalam mengekalkan ekosistem e-ekonomi yang inklusif menerusi pelaburan semula ke dalam ekonomi digital Malaysia dan komuniti tempatan,” katanya dalam kenyataan itu. 

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Fauziah, yang merasmikan majlis pelancaran Pakej Rangsangan #JomLokal Booster berkenaan berkata visi Malaysia untuk menjadi negara digital utama bergantung kepada kesediaan usahawan tempatan dalam menerima pakai inovasi tersebut.

“Inisiatif  #JomLokal merupakan langkah amat bermakna dan ia menunjukkan bahawa pemain industri boleh membantu meringankan kos operasi bagi PMKS tempatan untuk terbabit dalam ekonomi digital.

“Kami mengalu-alukan pelaburan berterusan TikTok Shop dalam membangunkan ekosistem e-dagang yang inklusif, demi membantu rakyat Malaysia menjana pendapatan yang mampan secara dalam talian,” katanya. 

Fuziah berkata kempen #JomLokal bukan setakat platform untuk menjual produk tempatan malah lebih penting ia berperanan sebagai wadah untuk membina ekosistem digital yang mampan. 

Beliau berkata ekosistem ini bukan sahaja memberi manfaat ekonomi malah memupuk masyarakat yang lebih inklusif, patriotik dan berdaya saing.

“Saya percaya melalui usaha berterusan ini, kita boleh meletakkan Malaysia sebagai negara contoh yang berjaya mengintegrasikan teknologi, keusahawanan dan jati diri negara dalam satu kerangka yang unik,” katanya

Untuk layak menerima manfaat Pakej Rangsangan #JomLokal Booster, PMKS yang terlibat perlu mempunyai penyenaraian produk aktif, kurang daripada 200 pesanan bulanan, dan Nilai Dagangan Kasar (GMV) bulanan di bawah RM1,000 di TikTok Shop.

Setiap penjual yang layak akan menerima manfaat pengecualian yuan komisen sebanyak RM1,000 hingga setakat 120 hari serta Baucar Promosi Iklan bernilai RM50 yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak platform.

Pengecualian yuran komisen di bawah pakej rangsangan ini merupakan sokongan tambahan khusus kepada PMKS, yang sedang menyertai inisiatif #JomLokal.

Ia berbeza dengan pengecualian yuran komisen di bawah Program Permulaan Penjual Baharu TikTok Shop yang terbuka kepada semua penjual baharu di platform tersebut.

Kenyatan itu juga memaklumkan Pakej Rangsangan #JomLokal Booster juga menaja iklan untuk mempromosikan produk buatan Malaysia melalui sepanduk carian dalam aplikasi TikTok yang akan dipaparkan apabila pengguna mencari kata kunci yang berkaitan.

“Ini akan terus meningkatkan pendedahan dan trafik kepada PMKS tempatan sepanjang tahun, dengan memanfaatkan trend pengguna Malaysia yang semakin kerap menggunakan ciri carian TikTok Shop untuk pencarian produk baharu mahupun pembelian secara terancang,” menurut kenyataan itu.

Semua PMKS yang menyertai Pakej Rangsangan #JomLokal Booster juga layak menggunakan mana-mana TikTok Shop LIVE Hub di seluruh negara secara percuma hingga maksimum 10 sesi (dua jam bagi setiap sesi) .

Mereka dikehendaki membuat tempahan awal melalui akaun rasmi @stesenliveiks untuk menggunakan TikTok Shop LIVE Hub, yang tertakluk kepada kekosongan serta berdasarkan prinsip “siap cepat dia dapat”. 

Selaras dengan hasrat untuk mengurangkan halangan bagi kemasukan ke dalam e-dagang, TikTok Shop juga akan mempergiat usaha meningkatkan kemahiran PMKS melalui penganjuran siri sesi pendidikan dan latihan #JomLokal, termasuk bengkel Shoppertainment, acara padanan pencipta kandungan, serta  webinar mingguan.

PMKS yang menjual produk buatan Malaysia yang berminat untuk menyertai Pakej Rangsangan #JomLokal TikTok Shop boleh layari https://vt.tiktok.com/ZSHnGjU19AS2Q-diPpr/. Untuk maklum lanjut mengenai inisiatif  #JomLokal TikTok Shop sila layari https://vt.tiktok.com/ZSALqUU6v/.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan