AM

AGROBANK SASAR LONJAKAN DEPOSIT 140 PERATUS MENJELANG PENUTUP KEMPEN MEGA MILLION 2.0

25/09/2025 03:46 PM

PUTRAJAYA, 25 Sept (Bernama) -- Agrobank menjangkakan pencapaian produk deposit melonjak kepada 140 peratus menjelang penutup Kempen Mega Million 2.0 pada Oktober ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata sejak kempen itu dilancarkan pada 1 Nov tahun lepas, sambutan peserta amat menggalakkan dengan peningkatan ketara dalam langganan produk bank berkenaan.

"Sebagai contoh, produk deposit telah mencatat peningkatan hingga 118 peratus.

"Selain itu, pembiayaan Ar-Rahnu mencatat pertumbuhan melebihi RM600 juta dan kelulusan Pembiayaan Peribadi AgroCash-i telah melebihi RM2 bilion," katanya pada majlis penyerahan hadiah Kempen Mega Million 2.0 pusingan ketiga, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Agrobank Zahid Ahmad Zawawi.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata kempen itu memainkan peranan penting dalam mempromosikan rangkaian produk Agrobank yang komprehensif di pasaran serta menggalakkan rakyat Malaysia menanam tabiat menabung sebagai persediaan masa depan lebih terjamin.

"Bagi merancakkan lagi kempen ini, setiap penyertaan sepanjang tempoh 1 Sept hingga 31 Okt 2025 akan menerima dua kali ganda mata penyertaan, sekali gus meningkatkan peluang memenangi hadiah ditawarkan.

"Setakat ini, sebanyak 160 pemenang telah menerima hadiah berupa kereta, wang tunai atau kepingan emas," katanya.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, enam pemenang berjaya membawa pulang kereta iaitu Mitsubishi Xpander, Proton S70 dan Perodua Myvi.

"Lebih menarik, cabutan utama menawarkan hadiah eksklusif berupa Ford Ranger Raptor kepada seorang pemenang bertuah yang bakal diumumkan pada pusingan akhir," katanya.

Dibuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada Agrobank, Kempen Mega Million 2.0 dilancarkan sejak 1 Nov 2024 hingga 31 Okt ini dengan hadiah keseluruhan ditawarkan bernilai lebih RM2.5 juta.

Pemenang bagi Mei, Jun dan Julai 2025 ialah Yek Chu Tiing dari Agrobank Kuching yang memenangi Mitsubishi Xpander, Mohd Rozaki Ismail dari Agrobank Pekan yang membawa pulang  Proton S70 serta Lawin Anak Unggot dari Agrobank Betong yang memenangi Perodua Myvi.

Yek, 57, teruja apabila usaha menabung dengan Agrobank sejak tujuh tahun lepas membuahkan hasil apabila memenangi sebuah kereta.

"Saya jadi pelanggan Agrobank ketika itu kerana mengusahakan ladang nanas di Asajaya, Sarawak. Agrobank sentiasa membantu golongan petani dengan faedah yang dikenakan rendah," katanya.

Ye berkata amalan menabung amat penting demi masa depan khususnya buat generasi muda serta menyarankan mereka membuat pelaburan demi masa depan.

Mohd Rozaki, 45, juga teruja memenangi sebuah kereta selepas hampir dua tahun konsisten menyimpan bersama Agrobank.

"Sejak menyertai Kempen Mega Million 1.0 hingga sekarang, kali ini rezeki saya. Nasihat saya kepada generasi muda, rajinlah menyimpan demi masa depan kerana amalan ini sangat penting," katanya.

-- BERNAMA 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan