KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Projek Integrasi Tenaga (PIP) Laos–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS) dan cadangan grid Semenanjung dan Borneo akan menjadi model bagi usaha ASEAN ke arah rangkaian tenaga serantau yang bersambung sepenuhnya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata hubungan sub-serantau sedia ada menunjukkan kebolehlaksanaan perdagangan elektrik rentas sempadan dan perlu diperluaskan untuk meliputi semua negara anggota ASEAN.
Beliau berkata pembangunan grid Borneo, menghubungkan Sarawak, Sabah, Brunei, Kalimantan (Indonesia) dan Filipina bersama-sama dengan grid Semenanjung Malaysia yang menghubungkan ke Singapura akan membantu membuka potensi tenaga boleh baharu yang luas di rantau ini.
Fadillah berkata Vietnam, Kemboja, Laos, Thailand, Myanmar, Semenanjung Malaysia dan Singapura dari segi geografi boleh dihubungkan melalui darat dan sebahagiannya menerusi kabel dasar laut dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya melalui darat ke Singapura.
Beliau berkata Singapura boleh dihubungkan ke Indonesia melalui kabel dasar laut manakala grid Borneo, menghubungkan Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan dengan sumber tenaga hijau yang banyak boleh disambungkan ke Semenanjung Malaysia melalui kabel bawah laut dari Sarawak ke Singapura dan Johor.
Fadillah berkata demikian ketika menyertai panel perbincangan panel ‘Powering ASEAN’s Green Economic Growth’ pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-Kesatuan Eropah (EU) 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata grid Sabah juga boleh disambungkan ke Filipina, membolehkan sambungan penuh seluruh ASEAN dan perdagangan elektrik rentas sempadan yang lancar.
Bagi mencapai matlamat ini, beliau menekankan keperluan untuk negara anggota ASEAN bekerjasama rapat dengan Pusat Tenaga ASEAN (ACE), berperanan sebagai platform neutral untuk perkongsian pengetahuan, penyelarasan dan penjajaran dalam merealisasikan Grid Tenaga ASEAN (APG).
Fadillah berkata ASEAN dijangka akan menyokong memorandum persefahaman (MoU) yang dipertingkatkan mengenai APG pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN pada Oktober depan, menandakan peralihan daripada perdagangan elektrik dua hala kepada pelbagai hala.
Beliau juga menggariskan visi Malaysia untuk mengukuhkan hubungan rentas sempadan, mengharmonikan peraturan pasaran dan memastikan pertukaran tenaga yang telus dan cekap.
Selain itu, Fadillah juga menekankan pembinaan kapasiti melalui organisasi seperti ACE, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA) yang telah menyumbang kepada Prospek Tenaga Tenggara Malaysia dan pelan hala tuju tenaga boleh baharu.
Mengesahkan semula matlamat Malaysia untuk mendapatkan 70 peratus campuran tenaga daripada tenaga boleh baharu menjelang 2050, beliau berkata kerjasama serantau adalah penting.
Beliau memberi contoh Mekanisme Dagangan Tenaga Boleh Baharu yang Telus Merentas Sempadan (NETM) dimulakan oleh Singapura sebagai model yang berjaya untuk digunakan di ASEAN.
Perbincangan panel itu turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Kemampanan HSBC Amanah Malaysia, Raja Amir Shah Raja Azwa; Pengarah Urusan Evonik Thailand, Dr Matthias Pascaly; Ketua Serantau Bank Pelaburan Eropah untuk Asia Tenggara dan Pasifik, Sunita Lukkhoo dan Pengarah Urusan Siemens Energy Malaysia, Azli Mohamed.
-- BERNAMA