ISKANDAR PUTERI, 25 Sept (Bernama) -- Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) Bergson da Silva meledakkan hatrik untuk membantu pasukan itu membelasah Bangkok United FC 4-0 pada aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam ini.
Kedua-dua pasukan saling mengatur serangan pada babak pertama, namun gagal menemui jaringan, dengan pasukan pelawat beberapa kali menguji benteng Harimau Selatan menerusi gerakan di bahagian kiri.
Pertahanan JDT bagaimanapun kekal disiplin untuk mengekang asakan lawan, manakala peluang yang diperoleh Arif Aiman Mohd Hanapi dan Jon Irazabal Iraurgui juga tidak membuahkan hasil.
Sebaik separuh masa kedua bermula, Bergson, yang baru dinobatkan penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super hanya memerlukan kurang seminit untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-45, sekali gus memecah kebuntuan dan menceriakan penyokong tuan rumah.
Suasana di SSI bertambah gamat apabila Joao Figueredo menambah gol kedua pada minit ke-51, sebelum Bergson kembali mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-72.
Bintang Brazil itu kemudian melengkapkan hatrik peribadi menerusi jaringan masa kecederaan minit ke-91, menjadikan kedudukan 4-0 dan mengesahkan kemenangan bergaya skuad bimbingan Xisco Munoz.
Kemenangan itu meletakkan JDT selaku pendahulu Kumpulan B dengan enam mata penuh selepas dua perlawanan, sebelum bertandang ke Phnom Penh menentang PKR Svay Rieng FC di Stadium Nasional Morodok Techno pada 4 Dis depan.
-- BERNAMA