KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Gagasan Nadi Cergas Bhd (GNCB) menerima kelulusan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri bagi cadangan pengambilalihan kepentingan ekuiti dalam Seri Delima Anggun Sdn Bhd (SDASB) dan Serata Ehsan Sdn Bhd (SESB).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, GNCB berkata UKAS telah meluluskan pengambilalihan kepentingan sebanyak 45 peratus dalam SDASB berbanding 100 peratus yang dicadangkan sebelumnya, dan 100 peratus kepentingan dalam SESB.
“Baki sebanyak 55 peratus kepentingan ekuiti dalam SDASB mewakili 30.25 peratus pegangan saham Bumiputera dalam KPSSB,” kata syarikat itu.
GNCB berkata lembaga pengarahnya akan membincangkan implikasi keputusan UKAS dan menentukan tindakan lanjut, dengan pengumuman seterusnya akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
GNCB mencadangkan pengambilalihan strategik konsesi pengurusan aset asrama pelajar bernilai RM185 juta pada November tahun lepas.
Ia bertujuan mendapatkan kawalan penuh ke atas Konsortium PAE Sepakat Sdn Bhd (KPSSB) yang menguruskan asrama tujuh kampus politeknik di Malaysia, dengan mengambil alih dua pemegang saham syarikat itu iaitu SESB dan SDASB.
Pengarah Urusan kumpulan GNCB Datuk Wan Azman Wan Kamal berkata langkah itu bertujuan memperkukuh konsesi dan operasi pengurusan kumpulan, yang kekal sebagai kekuatan utama mereka serta menjana aliran pendapatan berulang yang stabil dan berterusan.
-- BERNAMA