SHAH ALAM, 25 Sept (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena perkahwinan diraja Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Tengku Amir Shah.
Majlis anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu adalah bagi mendoakan kelancaran istiadat perkahwinan Tengku Amir Shah bersama pasangannya Afzaa Fadini Abdul Aziz yang bakal berlangsung pada 2 Okt ini.
Ketibaan Sultan Sharafuddin pada 7.05 malam disambut Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi serta Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail.
Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Salehuddin Saidin serta Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
Terdahulu, Sultan Selangor turut berkenan menunaikan solat Maghrib bersama jemaah yang hadir sebelum menyertai majlis bacaan Yasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir.
-- BERNAMA