KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Ekspo HealWell 2025 kembali dengan penganjuran lebih besar dan meriah yang menghimpunkan komuniti penjagaan kesihatan dan kesejahteraan diri, selama dua hari bermula esok.
Dalam satu kenyataan hari ini, HealWell memaklumkan acara yang akan diadakan di Dewan Utama Universiti MAHSA, Bandar Saujana Putra, Selangor itu menyasarkan antara 2,000 hingga 3,000 pengunjung dan akan dibuka dari 10 pagi hingga 6 petang dengan kemasukkan adalah percuma.
Menurut HealWell, ekspo tersebut menawarkan kira-kira 45 saringan kesihatan, dengan 37 daripadanya disediakan secara percuma menerusi kerjasama secara meluas bersama penyedia penjagaan kesihatan, badan bukan kerajaan (NGO), dan rakan kongsi dalam sektor kesejahteraan diri.
“Dilancarkan pada 2023 sebagai inisiatif kesihatan komuniti berskala kecil, HealWell telah berkembang pesat kepada gerakan dinamik ke seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, dua inisiatif utama akan diperkenalkan iaitu “HealWell Kids”, program berasaskan sekolah yang merangkumi saringan kesihatan, latihan resusitasi kardiopulmonari (CPR), dan bengkel untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak.
Satu lagi inisiatif bakal diperkenalkan ialah “HealWell Academy”, yang diilhamkan daripada program ala pengakap Malaysia dengan setiap peserta akan memperoleh lencana berkaitan pemakanan, kebersihan diri, kecergasan, kesejahteraan mental, pertolongan cemas dan kerjaya penjagaan kesihatan, bertujuan membina amalan sihat sepanjang hayat serta kemahiran untuk masa depan
“Kedua-dua inisiatif ini meluaskan lagi impak HealWell, dengan pengalaman komuniti yang berterusan sepanjang tahun,” menurut kenyataan itu.
Antara tarikan utama lain ialah Platform Digital HealWell yang membolehkan orang ramai mengunjungi lokasi saringan dan reruai, menjejak saringan kesihatan yang lengkap, menebus baucar kesihatan dan ganjaran, serta berhubung dengan inisiatif HealWell untuk sepanjang tahun.
Sementara itu, pengasas HealWell Datuk Dr Anitha Haniffa berkata ekspo tersebut bertujuan menghapuskan keraguan terhadap penjagaan kesihatan dan menjadikan kesihatan sebagai aspek sokongan yang menyeronokkan dan memperkasakan keluarga.
“Menerusi HealWell Kids, HealWell Academy, dan platform digital ini kita membina legasi iaitu penjagaan kesihatan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita seharian,” menurut kenyataan itu.
Pertama kali ditubuhkan pada 2023, HealWel merupakan inisiatif kesihatan yang dipacu oleh tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses, mesra dan menarik untuk semua lapisan masyarakat.
Tiga tonggak utamanya iaitu HealWell Expo, HealWell Kids dan HealWell Academy, gerakan itu aktif mempromosikan pencegahan, pengesanan awal, dan pendidikan kesejahteraan sepanjang hayat, dengan satu misi yang jelas iaitu bersama-sama membina masa depan yang lebih sihat.
-- BERNAMA