IPOH, 26 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam parit di Jalan Labu Kubong, Kampung Cenderong Balai, Teluk Intan, pagi tadi.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.02 pagi sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan digegaskan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba dimaklumkan mangsa, Mohd Zaidi Ismail, 48, yang difahamkan lumpuh sebelah kiri badan dan berkerusi roda telah jatuh ke dalam parit.
"Bomba segera menjalankan operasi dengan menggunakan kelengkapan penyelamatan dan berjaya menaikkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian lain, Shazlean berkata seorang lelaki berusia 60 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di Pantai Teluk Batik, Seri Manjung, pagi tadi.
Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.28 pagi manakala jentera dari BBP Seri Manjung dengan kekuatan 11 anggota tiba di lokasi pada 6.53 pagi.
"Berdasarkan maklumat awal, mangsa dan keluarganya sedang bercuti di kawasan pantai berkenaan serta melakukan upacara sembahyang sebelum kejadian berlaku.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan menggunakan tiga bot milik BBP Seri Manjung, BBP Pulau Pangkor dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Pemantauan di pesisir pantai dan kawasan berbatu turut dijalankan terutama ketika air surut,” katanya.
-- BERNAMA