AM

KEROPOK DAUN KESUM SNEK WARISAN KELANTAN, BERPOTENSI TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA

26/09/2025 03:45 PM

KOTA BHARU, 26 Sept (Bernama) -- Bermula daripada ilham nelayan di tengah laut lebih 40 tahun lepas, keropok daun kesum atau dikenali sebagai ‘Keropok Laila’ kini menjadi snek warisan Kelantan yang kian mendapat perhatian dan berpotensi menembusi pasaran antarabangsa, meskipun berdepan kekangan lokasi dan peralatan.

Pengusaha generasi muda Ummi Nur Nadia Hassan, 29, berkata resipi istimewa itu dipelajari daripada bapanya Hassan Bakar, 61, yang mengekalkan cara pembuatan turun-temurun keluarga nelayan di Kampung Kuala Besar di sini.

“Asal-usul keropok ini bermula apabila nelayan yang turun ke laut menyediakan makanan ringkas berasaskan ikan segar, daun kesum, bawang dan cili ketika berada di atas bot. Daripada situ tercipta keropok unik ini, yang kekal dikenali sebagai ‘Keropok Laila’ hingga kini.

“Nama Laila itu tidak pasti asalnya, mungkin nama individu yang mula-mula mencipta keropok ini, namun bagi kami, ia tanda penghargaan kepada warisan lama yang dicipta nelayan lebih empat dekad lepas,” katanya kepada Bernama di Jeti Kuala Besar baru-baru ini.

Keropok berbentuk bulat nipis itu memiliki rasa seakan-akan satar tetapi digoreng rangup, menjadikannya mudah dinikmati sebagai snek atau dimakan bersama pencecah.

Ummi Nur Nadia berkata ramuan utama terdiri daripada isi ikan selayang segar, kanji, bawang, cili dan daun kesum yang dibeli di pasar. Bagi setiap lima kilogram isi ikan, penggunaan cili mencecah 200 gram, manakala dua ikat daun kesum menjadi bahan terpenting.

“Adunan digaul dan ditepek menggunakan tangan menjadi kepingan bulat. Ia dibahagikan dua kategori iaitu keropok sejuk beku yang digoreng seketika sebelum dibekukan dan keropok panas yang biasanya laris hujung minggu apabila pelancong singgah di jeti sebelum ke Pulau Suri, Tumpat,” katanya.

Permintaan terhadap ‘Keropok Laila’ amat tinggi, malah pernah mencecah 8,000 bungkus sehari dengan tempahan sehingga 10,000 bungkus termasuk dari Sabah.

“Namun kami tidak mampu penuhi kerana kekangan tenaga kerja dan peralatan,” katanya.

Dua pekerjanya Rosmilawati Mohd Norwi, 45, dan Rosnani Ibrahim, 42, mengakui proses membuat keropok menuntut ketahanan fizikal kerana segalanya dilakukan secara manual.

“Kerja ini perlu berdiri lama, menepuk adunan cepat-cepat dan terus goreng dalam minyak panas. Tak boleh lambat kerana adunan mudah rosak,” katanya.

Sementara itu, Hassan berkata keropok itu tidak boleh dihasilkan menggunakan mesin kerana teksturnya tidak akan sama seperti hasil buatan tangan.

“Pasaran memang luas, malah sudah dibawa ke Sabah dan Sarawak tetapi untuk eksport luar negara kami masih terhad kerana tiada tanah untuk bina kilang lebih besar dan peralatan sesuai,” katanya.

Setakat ini, Jabatan Perikanan membantu dari segi bimbingan dan nasihat, namun Ummi Nur Nadia berharap ada sokongan tambahan agar kapasiti pengeluaran dapat dipertingkatkan dan produk warisan itu menembusi pasaran global.

Beliau berkata selain dijual di jeti, keropok sejuk beku turut dipasarkan secara dalam talian, dengan pelanggan tetap dari Kuala Lumpur, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, manakala purata jualan harian mencecah RM1,000.

“Alhamdulillah, ramai yang suka kerana rasanya unik dan lain daripada keropok biasa. Saya berharap satu hari nanti ‘Keropok Laila’ ini bukan sahaja terkenal di Malaysia tetapi juga di luar negara,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan