KOTA KINABALU, 26 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Sabah terus diperkukuh dan sentiasa berada dalam keadaan baik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Anwar berkata hal ini penting bagi memastikan Kerajaan MADANI berupaya untuk membantu Sabah mempercepat pelaksanaan pembangunan negeri termasuk dalam aspek infrastruktur jalan raya dan prasarana sekolah serta hospital yang lebih baik demi manfaat rakyat secara keseluruhan.
“Hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri mesti baik supaya lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan untuk faedah rakyat. Apabila ada kuasa, kita mesti lakukan sebaik mungkin untuk negara dan rakyat.
“Impian saya adalah untuk rakyat bersatu dan memastikan anak-anak sama ada di Kuala Lumpur mahupun di Kelantan atau Keningau, Kota Marudu, Inanam dan semua kawasan di Sabah merasakan mereka ada peluang dan harapan di dalam negara Malaysia,” kata beliau.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata demikian ketika berucap pada Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan bersempena dengan 27 Tahun Reformasi di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni di Inanam, dekat sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merangkap Ketua Penerangan PKR dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud yang juga Pengerusi PKR Sabah.
Anwar berkata beliau sentiasa peka dengan keperluan Sabah serta Sarawak bukan hanya dalam aspek pembangunan dan kebajikan rakyat kedua-dua negeri itu, tetapi juga usaha untuk merealisasikan tuntutan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata banyak perkara dalam MA63 telah ditunaikan dan sedang dibincangkan untuk direalisasikan selepas Kerajaan MADANI menerajui kerajaan Persekutuan termasuk penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
“Dalam mesyuarat (Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963) di Kuching, Sarawak baru-baru ini, saya meluluskan untuk menambah bilangan kerusi bagi Sabah dan Sarawak. Perkara ini telah dibincangkan sejak berpuluh tahun lepas, namun dapat direalisasikan ketika saya jadi Perdana Menteri,” kata beliau.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Sabah akan mendapat berita gembira dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Okt ini.
“Walaupun saya anak Pulau Pinang, peruntukan untuk negeri Sabah adalah yang tertinggi. Ini untuk menyelesaikan segala projek pembangunan yang belum selesai dan sedang dalam proses pembinaan seperti air, elektrik dan jalan raya,” kata Anwar.
Justeru, Perdana Menteri mahu hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan semua negeri termasuk Sabah diperkukuh supaya pembangunan termasuk komitmen membasmi kemiskinan rakyat dapat dilaksanakan secara lebih efisien.
Anwar juga yakin Pakatan Harapan (PH) akan menjadi penentu kepada pembentukan pentadbiran kerajaan negeri Sabah selepas pilihan raya negeri akan datang meskipun jumlah kerusi ditandingi oleh gabungan parti itu tidak banyak.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita Anwar berkata PH kekal dengan pendirian untuk meneruskan kerjasama politik dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN Sabah akan datang.
-- BERNAMA