SEPANG, 26 Sept (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) bersedia menyalurkan bantuan kebajikan termasuk kewangan, serta aspek sokongan kaunseling kepada ahli keluarga 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata langkah itu penting, bagi memastikan aspek kebajikan ahli keluarga terbela kerana ia turut membabitkan soal emosi.
“JAKIM kita memang ada spiritual counsellor, jadi mereka ni boleh turun untuk bantu (ahli keluarga) kalau katakan ada tekanan sebab orang yang tersayang ada di lautan.
“Mungkin kalau ada dalam bentuk kewangan ke apa yang diperlukan yang itu pun kita boleh boleh tengok (untuk disalurkan),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Central Warehouse, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Dr Ahmad Sani Araby.
Mohd Na’im berkata misi yang dijayakan 34 rakyat Malaysia itu, satu usaha murni yang tidak semua orang mampu lakukan.
“Saya ingat misi GSF ini jelas, tujuan dia adalah untuk menghantar bantuan ubatan dan juga makanan kepada rakyat yang berada di Gaza,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga media yang memberikan liputan berterusan dan menyampaikan naratif yang tepat kepada rakyat Malaysia mengenai misi tersebut.
“Media memainkan peranan penting dalam membina semangat rakyat dan menyampaikan maklumat yang benar. Naratif yang tepat bukan saja menguatkan semangat 34 sukarelawan kita, malah memberi harapan kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya.
Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF, yang kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece dan dijangka memasuki zon kuning pada bila-bila masa sebelum dijadual tiba di perairan Gaza, akhir bulan ini.
Mereka merupakan sebahagian daripada aktivis daripada 45 negara yang berlayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan ke atas enklaf itu, dan cekal berdepan pelbagai rintangan serta ugutan termasuk serangan dron.
Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi itu menerusi sokongan Perdana Menteri.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan, yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.
-- BERNAMA