Oleh Anas Abu Hassan dan Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Jawatankuasa Ekonomi ASEAN (AECC) akan bersidang pada penghujung Oktober depan untuk membincangkan isu terkini berkaitan tarif Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata setakat ini, Malaysia sedang menilai impak ke atas industri susulan tarif terbaharu yang dikenakan AS ke atas produk farmaseutikal, perabot dan alat ganti automotif serta aeroangkasa.
"Ini sememangnya sudah dijangkakan. Cuma kita mahu tahu bila dan kita akan menunggu butiran terperinci mengenai tarif itu yang dijangka menjejaskan beberapa sektor," katanya pada sidang media hari terakhir Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan, di sini, hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, pendirian Malaysia adalah untuk sentiasa mengadakan rundingan dengan AS dalam isu tarif -- pendekatan yang sama diambil oleh negara anggota ASEAN lain.
“Di peringkat ASEAN, kita terus menyokong sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan yang berteraskan kepada prinsip Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
"AS mempunyai hak untuk melakukan apa yang mereka perlu lakukan, tetapi bagi kita, kita akan terus menyokong multilateralisme dan terus mempelbagaikan, mengukuhkan syarikat kita," katanya.
Sementara itu beliau berkata, mesyuarat Menteri Luar dan Menteri Ekonomi ASEAN akan bersidang buat pertama kalinya pada 25 Okt depan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 untuk membincangkan isu pemecahan geoekonomi semasa.
“Ini adalah kali pertama kita mengadakan mesyuarat bersama dan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) akan membentangkan (dapatan dan cadangan mereka) kepada kedua-dua menteri luar dan menteri ekonomi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata tidak ada sebarang cadangan mengenai lokasi Sekretariat Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), dan ia juga tidak dibincangkan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri RCEP ke-4 pada Khamis.
“Belum ada lagi cadangan setakat ini mengenai di mana peiabat Sekretariat RCEP ASEAN (akan berpusat). Ini masih lagi peringkat Sekretariat ASEAN, belum lagi naik ke peringkat menteri. Biarlah pegawai kanan berbincang dahulu,” katanya.
Pada Khamis, Tengku Zafrul berkata perkumpulan itu sedang menimbang mewujudkan Sekretariat RCEP khusus untuk menjadikan perjanjian perdagangan terbesar itu di dunia lebih relevan dan beroperasi dengan berkesan.
Inisiatif yang diterajui ASEAN itu adalah pakatan perdagangan terbesar dunia, merangkumi 15 ahli, termasuk 10 negara ASEAN ditambah China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
Baru-baru ini Hong Kong, Bangladesh, Sri Lanka dan Chile telah menyatakan minat mereka untuk menyertai RCEP.
-- BERNAMA