AM

JANGAN PILIH PEMIMPIN ROSAKKAN NEGARA, TANAM BIBIT KEBENCIAN - PM ANWAR

27/09/2025 01:16 PM

SANDAKAN, 27 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak memilih pemimpin yang merosakkan negara dan menanam bibit kebencian sesama rakyat, sebaliknya memastikan kepimpinan negara diurus dengan amanah dan tatakelola yang baik.

Beliau berkata rakyat perlu memilih pemimpin yang sentiasa menjaga kepentingan rakyat dan tidak mengamalkan sikap mengaut keuntungan apabila mempunyai kuasa.

“Kita banyak mendengar tentang pemimpin yang mencuri sana, mencuri sini. Budaya sebegitu mesti dihentikan. Kita perlu tindakan yang tegas.

“Kadang-kadang mereka sendiri pernah jadi pemimpin yang kaya, membolot projek besar tetapi tetap marah pada orang lain. Tidak boleh begitu. Mesti ada kesungguhan untuk membetulkan keadaan,” katanya pada Majlis Jelajah Wira MADANI dan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kompleks APMM Zon Maritim Sandakan di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah. 

Anwar berkata dalam soal pertahanan dan keselamatan, kerajaan tidak boleh berkompromi dengan ketirisan, keborosan serta rasuah kerana ia akan melemahkan negara walaupun perbelanjaan pertahanan mencecah berbilion ringgit.

“Ketirisan, keborosan, rasuah mesti dihalang. Kalau tidak, sehebat mana pun negara, ia akan jatuh. Kalau yang diamanahkan itu kerjanya pecah amanah, negara akan rosak,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut memuji dan berpuas hati dengan prestasi APMM yang semakin baik selepas kerajaan menambah peruntukan kepada agensi itu.

Beliau berkata kawasan perairan negara yang luas memerlukan aspek keselamatan dan aset pertahanan negara setiasa bersedia serta lengkap.

“Negara ini aman tetapi kita berdepan dengan masalah penyeludupan manusia, senjata, dadah dan juga pencerobohan. Semua ini memerlukan satu angkatan yang disiplin dan berkelengkapan baik.

 “Malaysia ini aman hasil daripada sumbangan dan pengorbanan pasukan keselamatan, termasuklah APMM. Sebab itu kita harus sentiasa memastikan kelengkapan dan disiplin mereka terjaga. Tanggungjawab ini mesti disempurnakan dengan penuh amanah.

“Justeru, saya ucapkan terima kasih kepada APMM dan juga rakan-rakan dalam pasukan keselamatan lain kerana menjalankan tanggungjawab dengan baik,” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan