AM

PERANAN NGO PELENGKAP DASAR KERAJAAN, ANGKAT BUDAYA FILANTROPI

27/09/2025 11:54 AM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat penting sebagai pelengkap kepada dasar kerajaan, termasuk inisiatif yang kemudiannya diangkat menjadi dasar rasmi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata NGO juga memainkan peranan menyuburkan budaya filantropi dalam masyarakat sekali gus mengukuhkan nilai kemanusiaan.

"Begitulah pentingnya peranan NGO dalam negara ini. Mereka menjadi penghubung antara cita-cita nasional dan realiti sebenar rakyat di lapangan," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata usaha menyuburkan budaya filantropi akan menanamkan nilai ihsan dalam masyarakat, selari dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan material dan rohani secara seiring.

"Saya yakin, apabila budaya filantropi terus disuburkan, Malaysia akan tampil sebagai negara yang bukan sahaja makmur dari segi ekonomi tetapi juga kaya dengan jiwa kemanusiaan.

"Pembangunan material dan pembangunan rohani bergerak seiring dalam membina sebuah negara bangsa yang beradab," katanya.

Dr Zaliha malam tadi merasmikan Majlis Pra Peluncuran Anugerah Perdana NGO Malaysia dan peluncuran Mega Briswalk Malaysia MADANI yang diadakan serentak.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan