Daripada Muhammad Faiz Baharin
NEW YORK, 28 Sept (Bernama) -- Malaysia dengan tegas menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan terhadap Israel, sambil menegaskan bahawa "metastasis" kekejaman rejim Zionis di Timur Tengah tidak boleh dibiarkan berterusan.
Sambil menyampaikan Kenyataan Negara pada Perbahasan Umum Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 2025 di sini pada Sabtu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata serangan terbaharu Israel di Doha, Qatar, bukan sekadar serangan terhadap beberapa wakil Hamas tetapi merupakan pencabulan terhadap kedaulatan sebuah negara serta penghinaan terhadap semua usaha pengantaraan.
Beliau berkata serangan itu menandakan keganasan Israel akan terus menggugat kestabilan rantau itu, sambil menekankan bahawa kesannya pasti akan merebak ke seluruh dunia.
“Kekejaman ini mungkin bermula dengan Palestin, tetapi ia pasti tidak akan berakhir dengan Palestin. Ketika Timur Tengah semakin berbahaya bagi penduduknya, kita akan merasainya di seluruh dunia.
“Inilah sebabnya mengapa sekadar menyokong penyelesaian dua negara tidak lagi mencukupi,” katanya.
Beliau turut mengulangi komitmen Malaysia untuk terus menyokong rakyat Palestin melalui apa jua langkah, termasuk Deklarasi New York.
Mohamad berkata tindakan konkrit juga mesti diambil terhadap kuasa pendudukan, manakala sokongan jangka panjang perlu disediakan bagi memastikan pembangunan sebuah negara Palestin yang berkerajaan sendiri.
“Ujian yang kita hadapi kini adalah ujian kewujudan. 80 tahun kewujudan PBB, dan 77 tahun pembersihan etnik Palestin, jika kita tidak dapat menyelesaikan perkara ini, rakyat dunia akan hilang keyakinan terhadap kita dan terhadap sistem antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Mohamad turut mengulangi gesaan Malaysia supaya PBB segera melaksanakan reformasi, dengan menekankan bahawa badan dunia itu mesti kekal relevan dalam menangani cabaran global, khususnya isu Palestin yang sudah lama berlarutan.
Beliau berkata Malaysia percaya terdapat tiga pembaharuan mendesak yang penting bagi kelangsungan PBB termasuk keperluan mengehadkan, jika tidak menghapuskan kuasa veto.
“Kita mesti mencabar setiap kali kuasa itu digunakan, khususnya dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan.
“Kuasa mesti dikembalikan kepada Perhimpunan Agung.
"Sebagai badan paling inklusif, ia seharusnya dibenarkan berperanan sebagai hati nurani dan suara dunia tanpa sekatan.
“Kita juga mesti mereka bentuk semula mekanisme pembiayaan global, bagi memastikan ketelusan dan keadilan untuk negara-negara Selatan Global,” katanya sambil menegaskan bahawa reformasi bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan.
Mohamad turut menggesa PBB supaya terus menuntut kebertanggungjawaban daripada Anggota Tetap Majlis Keselamatan PBB melalui Resolusi 76/272: Inisiatif Veto, sambil menegaskan bahawa kegagalan berulang kali Majlis Keselamatan memenuhi kehendak Perhimpunan Agung mesti ditentang dengan tegas.
“Kita mesti mencari hasil melalui Resolusi 377A: Bersatu Demi Keamanan. Tidak lagi kita harus berdiam diri menerima penolakan terhadap suara kolektif kita.
"Kita mesti mempersoal dan mencabar kuasa veto. Kita mesti membebaskan Majlis Keselamatan daripada keadaan lumpuh yang memalukan ini,” katanya.
Beliau juga berkata, PBB mesti kekal sebagai sebuah pertubuhan antarabangsa yang relevan, berkesan serta menjadi penjaga keamanan global.
Sejak 7 Okt 2023, Israel telah melakukan genosid di Gaza, yang meragut lebih 65,000 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Kempen ketenteraan itu telah memusnahkan wilayah berkenaan dan membawa kepada kebuluran.
-- BERNAMA