AM

WTC2025 TEROKA TIGA DIMENSI KRITIKAL PELANCONGAN GLOBAL

28/09/2025 11:25 AM

MELAKA, 28 Sept (Bernama) -- Persidangan Pelancongan Dunia 2025 (WTC2025) yang bermula di sini hari ini, menjadi platform penting untuk meneroka tiga dimensi kritikal pelancongan global, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata tiga dimensi utama itu ialah memperkasakan ekonomi melalui pelancongan inklusif, memperluas pelancongan mampan daripada dasar kepada pelaksanaan, dan pelancongan dalam era kecerdasan buatan dan inovasi.

"Hari ini, kita bersatu dengan visi bersama – visi pertumbuhan mampan, penyertaan inklusif dan transformasi pelancongan yang bermula di Melaka bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi juga untuk seluruh dunia.

"Ketika kita memulakan perbincangan ini, ingatlah bahawa pelancongan lebih sekadar aktiviti ekonomi. Pelancongan ialah kuasa besar yang menghubungkan budaya, menginspirasikan inovasi dan memupuk persefahaman antara negara," katanya ketika menyampaikan ucaptama plenari pada persidangan itu.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Merujuk pengiktirafan Melaka sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO, Ab Rauf berkata negeri itu teguh sebagai bukti hidup bahawa warisan dan kemodenan boleh wujud bersama secara harmoni.

"Kami memastikan kemampanan bukan sekadar perkara yang difikirkan kemudian, tetapi berada pada teras perancangan dan pembangunan.

"Kami dengan bangga meraikan kepelbagaian dan kekal teguh dalam memelihara warisan ketara dan tidak ketara – daripada monumen bersejarah dan seni bina yang tidak lapuk dek zaman sehinggalah seni tradisional, kraf, kulinari dan bahasa. Usaha ini melindungan inti pati identiti kami dan memberikan inspirasi kepada generasi masa hadapan," katanya.

Menerusi persidangan sehari itu dengan tema Tourism and Sustainable Transformation: Inclusive, Resilient, Regenerative, Ab Rauf berkata Melaka bersedia memberikan inspirasi kepada dunia dengan membuktikan bahawa negeri ini bukan sahaja kaya dengan sejarah, tetapi juga sebuah bandar dinamik yang membentuk masa depan kehidupan mampan.

Beliau berkata idea yang dikongsikan pada WTC2025 berpotensi mengubah komuniti, memelihara warisan bersama dan mewujudkan peluang mampan kepada generasi akan datang.

"Marilah kita tinggalkan dewan ini dengan tekad untuk menukar visi kepada tindakan, memastikan legasi WTC2025 akan dirasai di seluruh dunia pada tahun-tahun akan datang," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan