AM

PERBELANJAAN SARA TERUS SOKONG PERNIAGAAN TEMPATAN DI LABUAN

28/09/2025 04:56 PM

LABUAN, 28 Sept (Bernama) -- Peruncit dan perniagaan kecil di Labuan mencatat jualan lebih kukuh dan aliran pelanggan yang semakin stabil sejak pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), iaitu bantuan tunai RM100 secara sekali beri, di samping program SARA yang menyasarkan isi rumah berpendapatan rendah, yang sedang berjalan.

 Kedua-dua inisiatif itu, yang disalurkan melalui MyKad untuk pembelian barangan keperluan asas terpilih, terbukti bukan sekadar bantuan jangka pendek, tetapi juga mengukuhkan kuasa perbelanjaan isi rumah serta menyokong rantaian bekalan tempatan, sekali gus memberikan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di pulau ini untuk berkembang.

SARA ialah program lanjutan daripada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang disalurkan kepada isi rumah berpendapatan rendah yang layak untuk pembelian bulanan barangan keperluan asas seperti makanan, minuman, barangan kebersihan dan ubat-ubatan.

Bagi Penghargaan SARA sebanyak RM100 pula, semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas layak menerimanya yang dikreditkan bermula dari 31 Ogos lepas untuk pembelian barangan runcit terpilih hingga 31 Dis ini, telah meluaskan manfaat kepada seluruh rakyat dewasa.

Di Labuan, yang kedai kecil dan pasar mini memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat, gabungan sokongan bersasar ini telah mengukuhkan lagi perbelanjaan dalam ekonomi tempatan.

Di Pasar Raya Bataras, antara peruncit utama di Labuan, jualan meningkat kira-kira 30 peratus sejak bantuan Penghargaan SARA bermula.

"Sebelum pelancaran program itu, jualan kami tidak menentu, kadang-kadang naik dan turun. Kini jualan lebih stabil dan kami merekodkan peningkatan kira-kira 30 peratus, terutamanya bagi beberapa barangan termasuk beras, mi segera, makanan dalam tin dan pencuci.

"Barangan ini cepat terjual, sekali gus membantu pembekal dan peruncit menguruskan stok dengan lebih cekap," kata pengurus pasar raya itu, Jean Paulus.

D’One Mart, kedai 24 jam yang menyertai program itu, turut menyaksikan peningkatan jualan hingga 25 peratus.

"Malah, pada lewat malam dan awal pagi, jualan melonjak dan lebih konsisten. Kami tidak lagi berdepan lambakan stok seperti mi segera dan makanan dalam tin.

"Kini, produk berkenaan terjual dengan stabil setiap hari. Pelanggan mendapat manfaat kerana keperluan asas mereka terjamin, dan peruncit lebih gembira kerana tidak perlu bimbang tentang pulangan," kata pengurus kedai itu Mohd Zuzulfikar Mohd Alias.

Di kampung, kedai runcit kecil yang sering berdepan saingan daripada rangkaian pasar raya besar turut pulih kembali.

Roslina Jali, 48, yang mengusahakan pasar mini di Kampung Bebuloh berkata program ini membantu mengekalkan kelangsungan perniagaannya.

 "Kami tidak dapat bersaing dengan harga atau kepelbagaian barangan di pasar raya besar, tetapi SARA telah mendorong orang kampung untuk membeli di kedai yang lebih dekat dengan mereka. Program ini memberikan aliran pelanggan yang tetap setiap minggu, yang sangat membantu untuk kelangsungan kami," katanya.

Di Kampung Layang-Layang, pengusaha kedai Hazwan Sapiee turut berkongsi pandangan sama.

"Sebelum pelaksanaan SARA, jualan tidak menentu, ada turun naiknya, terutama pada hari bekerja. Tetapi, orang ramai kini menggunakan kredit MyKad mereka untuk membeli barangan keperluan, sekali gus memberikan peluang yang adil kepada kami untuk bersaing dengan pasar raya besar di bandar," katanya.

Sementara itu, Persatuan PKS Labuan memaklumkan inisiatif ini menonjolkan keperluan perniagaan kecil di Labuan untuk lebih berdaya profesional, termasuk membina keupayaan dan penerapan digital.

"Dengan lebih ramai pembeli di pasaran, usahawan perlu lebih profesional, termasuk menaik taraf pembungkusan, menguruskan inventori dengan lebih cekap dan memanfaatkan capaian dalam talian untuk melengkapkan jualan fizikal," kata Presiden persatuan itu Jeffrey Tan.

SARA ialah inisiatif bantuan tunai bersasar yang kini merangkumi 5.4 juta penerima di seluruh negara, terdiri daripada 700,000 isi rumah eKasih dan 4.7 juta penerima STR. Di bawah Belanjawan 2025, peruntukan bagi STR dan SARA dinaikkan kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini, manakala kadar tahunan SARA ditingkatkan daripada RM1,200 kepada RM2,100.

Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan, kerajaan mengumumkan Penghargaan SARA, pemberian tunai RM100 yang dikreditkan menerusi MyKad kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, memanfaatkan 22 juta orang dengan kos tambahan sebanyak RM2 bilion, menjadikan jumlah peruntukan STR dan SARA tahun ini ialah RM15 bilion, yang tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara.

Setakat ini, lebih 8,100 kedai runcit di seluruh negara menyertai program ini, menawarkan lebih 90,000 barangan keperluan merangkumi 14 kategori termasuk beras, telur, ubat-ubatan, pencuci, kelengkapan sekolah dan produk kebersihan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan