SEPANG, 28 Sept (Bernama) -- Kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) akan memasuki “zon kuning” dalam masa terdekat dan menghadapi risiko tinggi untuk dipintas tentera Israel, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata status terkini kesemua 47 kapal tersebut serta 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi tersebut dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, di Pusat Gerakan Sumud Nusantara di sini hari ini.
Berdasarkan pengalaman misi terdahulu, Fahmi berkata zon yang bermula 300 batu nautika dari Gaza itu mempunyai rekod insiden gangguan oleh rejim Zionis, dan jangkaan yang sama mungkin akan berlaku terhadap GSF kali ini.
“Ini merupakan saat yang genting dan dijangkakan kemungkinan untuk berlaku pemintasan daripada pihak Israel itu adalah berkemungkinan besar.
“Memandangkan telah berlaku insiden di Tunisia dan beberapa insiden gangguan, kita perlu menjangkakan dalam zon kuning juga kemungkinan berlaku insiden,” katanya pada sidang media selepas menerima taklimat berhubung misi tersebut.
Fahmi berkata kerajaan melalui Kementerian Luar sentiasa memantau pergerakan misi itu, bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia yang terlibat dan Wisma Putra bersedia memberikan maklumat mengenai sebarang perkembangan terkini.
Beliau berkata kerajaan memberikan sokongan penuh kepada inisiatif GSF serta Sumud Nusantara.
“Kita berada dalam saat-saat yang sangat bersejarah, dunia tidak lagi akan berdiam diri membenarkan negara haram Israel dengan rejim Zionis untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahukan,” katanya.
Semasa lawatannya, Fahmi menerima taklimat terperinci mengenai status semasa misi tersebut dan berkesempatan untuk mengadakan panggilan video dengan tujuh warga Malaysia terlibat.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan, selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.
-- BERNAMA