JENAYAH & MAHKAMAH

CUBAAN SELUDUP HIDUPAN LIAR BERNILAI RM20,000 KE MUMBAI GAGAL - AKPS

29/09/2025 10:46 AM

PUTRAJAYA, 29 Sept (Bernama) -- Cubaan menyeludup tiga ekor hidupan liar bernilai RM20,000 ke Mumbai berjaya digagalkan dalam operasi penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memaklumkan hasil kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan polis bantuan KLIA berjaya mengesan seorang lelaki tempatan cuba membawa keluar hidupan liar menggunakan penerbangan Malaysia Airlines MH0194.

"Hasil pemeriksaan ke atas bagasi suspek berusia 46 tahun itu menemukan seekor disyaki ungka dan dua ekor disyaki cuscus yang disembunyikan. Nilai sitaan dianggarkan mencecah RM20,000," menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut AKPS, suspek telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Aeropolis untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008 [Akta 686].

Selain itu, AKPS memaklumkan semua barang kes telah diserahkan ke pejabat PERHILITAN KLIA untuk tindakan lanjut.

APKS memaklumkan kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar serta memastikan pintu masuk utama negara tidak dijadikan laluan jenayah rentas sempadan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan