FOKUS BERNAMA

EKOPELANCONGAN KUNCI KEJAYAAN PEMULIHARAAN BIODIVERSITI SABAH

29/09/2025 11:22 AM


From Emin Madi

Dalam landskap hutan  Sabah yang masih belum terusik, pelancongan bukan cuma industri tetapi talian hayat yang berpotensi menyelamatkan khazanah ekologi itu daripada ancaman pembangunan tidak terkawal.  

Akan tetapi, tanpa peneraju yang bertanggungjawab, sektor itu mampu merobek dan memusnahkan warisan purba berkenaan. Ringkasnya, pilihan kita ialah sama ada memacu pembangunan seiring dengan kebertanggungjawaban terhadap alam sekitar atau menjadi satu lagi kuasa penakluk dengan janji kosong.

Mengulas isu itu, Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (ITBC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Fiffy Hanisdah Saikim mengingatkan bahawa inisiatif pelancongan tanpa perancangan teliti berisiko mengancam habitat semula jadi, menjejaskan populasi hidupan liar dan menyumbang kepada kemerosotan warisan budaya.   

Beliau berkata Sabah menikmati kedudukan istimewa dengan kawasan pemuliharaannya diiktiraf di peringkat antarabangsa, kebanyakannya di bawah pengawasan Kumpulan Yayasan Sabah (YS) - peneraju pengurusan hutan lestari - dengan kerjasama ITBC.

Keseimbangan itu kata beliau terhasil daripada perkongsian wawasan kedua-dua organisasi untuk meletakkan Malaysia, khususnya Sabah, sebagai peneraju ekopelancongan global yang  bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti tetapi juga melindungi biodiversiti.

“Pendekatan seimbang ini mentakrifkan dengan tepat kerjasama antara ITBC dan YS.

"YS menguruskan beberapa destinasi ekopelancongan terpenting di Sabah, manakala ITBC pula menyediakan kepakaran saintifik yang penting dalam menentukan kapasiti pelawat, merangka strategi pengurusan dan program latihan jurupandu,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Menerusi kajian terperinci tentang corak tingkah laku hidupan liar serta sensitiviti habitat, ITBC membangunkan garis panduan pelancongan yang memastikan pelawat menikmati pengalaman bermakna tanpa merosakkan alam semula jadi, jelas Fiffy Hasnidah, pakar dalam Pengajian Pelancongan - Pemuliharaan dan Pemeliharaan Alam Sekitar.  

 

MENILAI KESIHATAN EKOSISTEM

Merujuk kawasan pemuliharaan Lembah Danum (di Lahad Datu) dan Kanyon Imbak (80 kilometer di selatan Telupid) yang diuruskan oleh YS,  Fiffy Hanisdah berkata kedua-dua kawasan itu merupakan contoh bagaimana penyelidikan saintifik jangka panjang boleh dijalankan secara harmoni dengan penglibatan komuniti dan inisiatif ekopelancongan.

pic-2

“Di kawasan tersebut, penyelidik ITBC bekerjasama secara langsung dengan Yayasan Sabah bagi memantau populasi hidupan liar, menilai kesihatan ekosistem dan memastikan aktiviti pelancongan mematuhi piawaian kelestarian," katanya. 

Satu daripada pencapaian penting hasil kerjasama mereka ialah bagaimana visi pengurusan hutan lestari YS diperkukuh menerusi sumbangan saintifik ITBC. 

Kerjasama mereka membawa kepada pendokumentasian spesies langka (jarang jumpa) dan terancam, penemuan organisma yang sebelum ini tidak diketahui dan penyampaian maklumat tersebut kepada penggubal dasar serta khalayak umum. 

“Yang tidak kurang pentingnya ialah program masyarakat secara kerjasama kami memperkasa penduduk setempat menjadi penjaga biodiversiti menerusi operasi ekopelancongan, inisiatif pendidikan alam sekitar dan projek mata pencarian berasaskan pemuliharaan.     

“Kisah-kisah kejayaan ini menunjukkan Sabah bukan hanya melindungi hutan… ia menetapkan penanda aras yang boleh diterima guna dan ditiru oleh wilayah lain,” tambahnya.

 

DASAR

Apabila ditanya bagaimana penyelidikan UMS diterjemahkan kepada dasar dan amalan pemuliharaan berkesan,  Fiffy Hanisdah berkata kerjasama ITBC-YS memastikan penyelidikan melangkaui kalangan ahli akademik.

Contohnya, strategi pengurusan pemuliharaan dirangka berdasarkan hasil penyelidikan, manakala inventori biodiversiti yang dijalankan ITBC menyumbang secara signifikan kepada perancangan pengurusan dan pemuliharaan hutan YS.   

pic-3

“ITBC bekerjasama  rapat dengan YS untuk membentangkan penemuan penyelidikan dalam format mudah difahami kepada penggubal dasar, masyarakat umum dan institusi pendidikan,” jelasnya. 

Pendekatan ini memastikan pengetahuan saintifik tidak dianggap sebagai sesuatu yang rumit dan jauh daripada kehidupan sebenar tetapi sumber praktikal yang membimbing dalam proses membuat keputusan.

 “Sama ada menerusi pelan induk pemuliharaan, program latihan masyarakat atau pameran biodiversiti, kerjasama kami memastikan pengetahuan dipindahkan dari persekitaran makmal ke lapangan di mana impak nyata dapat dilihat,” kata Fiffy Hanisdah.

Beliau juga berkata  pengajaran penting yang dikutip oleh ITBC dan YS menerusi kolaborasi itu ialah pemuliharaan berkesan memerlukan penciptaan bersama, iaitu bekerja bersama-sama dengan masyarakat berbanding hanya menjalankan program untuk mereka.

“Komuniti setempat ialah asas kepada kejayaan inisiatif pemuliharaan. Tanpa penglibatan mereka, usaha pemuliharaan pasti akan gagal.”

 

MASYARAKAT

Komuniti yang tinggal berhampiran kawasan pemuliharaan hutan YS terlibat secara aktif dalam pelaksanaan strategi pemuliharaan berasaskan saintifik, bukan hanya setakat penerima manfaat pasif.

Kawasan pemuliharaan Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Kanyon Imbak yang juga dikenali sebagai landskap hutan hujan DaMal, diuruskan oleh YS.

Penemuan saintifik ITBC dimanfaatkan oleh YS dengan membangunkan langkah-langkah pengurusan dan program masyarakat  yang melatih penduduk setempat menjadi pengusaha ekopelancongan, pemantau biodiversiti dan pendidik pemuliharaan. 

Pengetahuan turun temurun Orang Asli pula membentuk elemen asas dalam pengurusan biodiversiti berkesan dengan kerjasama ITBC dan YS menunjukkan potensi luar biasa apabila digemblengkan dengan kaedah saintifik. 

Fiffy Hanisdah berkata masyarakat setempat memiliki kebijaksanaan turun-temurun tentang penggunaan hutan, tumbuhan ubat-ubatan, tingkah laku hidupan liar dan amalan lestari.

“Pendekatan tradisional ini selalunya selari dengan prinsip ekologi moden seperti teknik pertanian bergilir, kaedah penuaian lestari dan perlindungan kawasan suci hutan,” katanya.

Sistem dwipengetahuan ini bukan sahaja memastikan perlindungan biodiversiti tetapi juga pemeliharaan identiti budaya, katanya.

“Ia menekankan bahawa pemuliharaan di Sabah melangkaui usaha melindungi spesies… ia juga menghargai komuniti yang telah mengekalkan hubungan harmoni dengan ekosistem ini sejak berabad lamanya.”

 

CABARAN PEMULIHARAAN

Menyentuh cabaran semasa pemuliharaan biodiversiti, Fiffy Hanisdah menggambarkan Sabah sebagai berada di persimpangan kritikal di mana biodiversiti berdepan tekanan yang semakin meningkat dari pelbagai arah, termasuk fragmentasi habitat, kesan perubahan iklim dan konflik manusia-hidupan liar.

pic-4

“Pembalakan dan penukaran guna tanah telah memecahbelahkan hutan kita, sekali gus mengancam laluan gajah, orang utan dan beribu-ribu spesies lain.

“Kerjasama ITBC-YS menjadi amat penting dalam konteks ini. YS menguruskan kawasan hutan yang luas dan penting untuk biodiversiti, manakala ITBC menyediakan kepakaran saintifik untuk memahami fungsi ekosistem serta mencadangkan strategi perlindungan yang optimum,” katanya.

Kisah Sabah bukan hanya tentang kerjasama saintifik atau metrik pemuliharaan - ia juga tentang mencari keseimbangan di mana  manusia dengan cita-cita mereka dan alam semula jadi boleh wujud secara harmoni.

Ketika matahari terbenam di Lembah Danum, semakin jelas bahawa yang dipelihara tidak hanya biodiversiti tetapi juga satu pandangan hidup yang melihat manusia bukan sebagai penakluk, sebaliknya tetamu yang rendah hati di sebuah rumah agam bernama alam semula jadi. Barangkali perspektif itulah sumber paling berharga.

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan