DUNIA

SEORANG MAUT, SEMBILAN CEDERA DALAM INSIDEN TEMBAKAN DI GEREJA MICHIGAN, AMERIKA SYARIKAT

29/09/2025 01:25 PM

NEW YORK, 29 Sept (Bernama-Xinhua) -- Sekurang-kurangnya seorang terbunuh manakala sembilan lagi cedera dalam insiden tembakan di sebuah gereja di Grand Blanc, Michigan, pada Ahad, menurut polis tempatan, lapor Xinhua.

Kebakaran besar turut tercetus sejurus selepas tembakan itu.

Ketua Polis Grand Blanc Township, William Renye berkata mangsa yang cedera termasuk dua parah telah dibawa ke hospital berhampiran.

Menurut Renye, suspek seorang lelaki berusia 40 tahun memandu keretanya dan merempuh masuk ke dalam gereja sebelum melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang hadir semasa upacara keagamaan.

Suspek kemudian maut selepas berbalas tembakan dengan polis di kawasan gereja, katanya.

Renye turut memaklumkan api berjaya dipadamkan dalam tempoh sejam, sambil menambah pihaknya percaya suspek sengaja membakar gereja berkenaan.

Terdahulu, polis tempatan dalam satu kenyataan memaklumkan terdapat ramai mangsa dalam kejadian itu dan keseluruhan bangunan gereja terbakar, sambil menggesa orang ramai menjauhi kawasan berkenaan bagi memberi ruang kepada operasi kecemasan.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam catatan di media sosial memaklumkan beliau telah menerima taklimat mengenai insiden tembakan yang disifatkannya sebagai “mengerikan” itu.

Gabenor Michigan, Gretchen Whitmer pula berkata beliau menerima laporan terkini berhubung kejadian berkenaan.

“Hati saya hiba bersama komuniti Grand Blanc. Keganasan di mana-mana, lebih-lebih lagi di rumah ibadat, sama sekali tidak boleh diterima,” kata Whitmer di platform media sosial X.

-- BERNAMA-XINHUA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan