DUNIA

PASARAN GETAH DITUTUP RENDAH SEIRING PRESTASI BERCAMPUR-CAMPUR SERANTAU

29/09/2025 05:42 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah pada Isnin, dipengaruhi oleh aliran bercampur-campur pasaran hadapan serantau, kata peniaga.

Beliau berkata kelemahan harga minyak mentah turut menjejaskan sentimen, walaupun penyusutan itu sebahagiannya dapat diimbangi oleh petunjuk-petunjuk ekonomi China yang lebih kukuh.

“Pasaran hadapan Jepun kehilangan arah pada hari ini, ditekan oleh kelemahan pasaran Shanghai serta pengukuhan yen manakala penurunan ekuiti Tokyo dan harga minyak turut menjejaskan harga,” katanya kepada Bernama.

Keuntungan perindustrian China meningkat 20.4 peratus pada Ogos berbanding setahun lepas yang berbeza daripada penurunan 1.5 peratus pada Julai lepas.

“Bagi tempoh Januari-Ogos, keuntungan itu naik 0.9 peratus berbanding penyusutan 1.7 peratus pada Januari-Julai,” katanya.

Pada 3 petang ini, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia atau SMR 20 susut 5.5 sen kepada 737.50 sen sekilogram manakala lateks pukal turun dua sen kepada 580.00 sen sekilogram.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan