KUANTAN, 29 Sept (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang telah mengenal pasti 763 lokasi ‘hotsport’ berisiko banjir menjelang peralihan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku antara November hingga Mac tahun depan.
Pengarah JBPM Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, daerah Temerloh mencatat jumlah kawasan tertinggi iaitu 185, diikuti Jerantut (106), Pekan (89) dan Kuala Lipis (88).
Daerah Bera mencatatkan sebanyak 70 kawasan, Kuantan (64), Raub (56), Maran (51), Bentong (23) dan Rompin (20).
“Cameron Highlands mecatat jumlah terendah dengan 11 kawasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti, Geran Pasukan Bomba Sukarela dan Sijil Perakuan Bomba Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang di sini, hari ini.
Beliau berkata seramai 930 pegawai dan anggota bomba seluruh negeri kini bersedia sepenuhnya dengan pelan penugasan dan pemeriksaan kelengkapan di semua balai.
“Mesyuarat telah diadakan di peringkat negeri, daerah dan komuniti. Jika berlaku banjir, fasiliti dan kekuatan yang ada akan digunakan secara maksimum,” katanya.
Dalam majlis sama, sebanyak 20 unit bot komuniti telah diserahkan kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Bomba Komuniti terpilih di seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi musim banjir.
“Setakat ini, JBPM Pahang memiliki 76 bot pelbagai jenis, termasuk 14 bot sumbangan agensi kerajaan dan wakil rakyat, yang telah ditempatkan di balai bomba seluruh negeri,” katanya.
-- BERNAMA