KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 berpeluang merapatkan jurang antara penawaran dan permintaan perumahan, kata Pengurus Negara PropertyGuru dan iProperty Malaysia Kenneth Soh.
Beliau berkata sokongan terhadap projek berharga sederhana di koridor bandar yang mempunyai permintaan paling tinggi, menggalakkan pembangunan semula kawasan terbiar, dan mempercepatkan kelulusan menerusi pendigitalan serta garis masa yang lebih jelas boleh memastikan penawaran baru lebih mencerminkan realiti isi rumah di Malaysia.
“Cabaran di Malaysia adalah memastikan penawaran perumahan mencukupi dan seiring dengan keperluan pembeli rumah.
“Sebahagian projek masih menyasarkan harga lebih tinggi, mengakibatkan jurang dalam segmen pasaran pertengahan, di mana majoriti pembeli berpotensi sedang mencari kediaman yang sesuai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang memetik Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) berkata pelancaran kediaman baharu menurun sebanyak 46 peratus pada separuh pertama 2025 kepada 23,380 unit, berbanding 43,167 unit pada separuh pertama 2024.
Pada masa sama, jumlah rumah siap yang tidak terjual meningkat sebanyak 16.3 peratus kepada 26,911 unit berjumlah RM18.6 bilion.
Menurut Soh, permintaan terhadap perumahan mampu milik kekal kukuh, terutamanya bagi rumah berharga di bawah RM300,000.
Sehingga September 2025, lebih daripada 20,500 hartanah di seluruh negara disenaraikan di PropertyGuru di bawah paras harga ini, dengan kira-kira 2,500 di Kuala Lumpur sahaja.
“Namun, kebanyakan rumah ini adalah stok sedia ada, yang terletak jauh daripada perkhidmatan pengangkutan awam atau memerlukan banyak pengubahsuaian, menyebabkan kemampuan bukan sekadar mengenai harga semata-mata,” katanya.
Beliau berkata lokasi tetap menjadi faktor kritikal, dengan permintaan bagi rumah mampu milik tertinggi di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang, iaitu negeri-negeri yang menjadi tumpuan pekerjaan, infrastruktur dan kemudahan lain.
“Belanjawan 2026 boleh memberi kesan besar dengan mengalakkan pembangunan perumahan berharga sederhana, yang mempunyai rangkaian hubungan dengan pengangkutan awam di koridor yang mendapat permintaan tinggi.
“Sementara itu, skim sewa untuk milik (RTO), boleh menjadi ‘jambatan’ yang praktikal bagi membantu banyak keluarga.
“Bagi isi rumah B40, dengan tahap mampu sewa sekitar RM1,500, program ROT yang direka dengan baik membuka laluan ke arah pemilikan rumah sambil mengatasi keperluan perumahan yang mendesak,” tambahnya.
Soh berkata, kemampuan sahaja tidak akan menjamin masa depan sektor hartanah di Malaysia kerana semakin ramai rakyat Malaysia yang menginginkan rumah yang bukan sekadar mampu milik, tetapi juga lestari, cekap penggunaan tenaga, dan bertanggungjawab dari segi sosial.
“Belanjawan 2026 boleh membantu mempercepatkan perubahan ini dengan menawarkan insentif terhadap penggunaan teknologi binaan hijau, daripada panel solar di bumbung dan sistem penjimatan air kepada sistem binaan berindustri (IBS) bagi mengurangkan pembaziran dan mempercepatkan pembinaan.
“Pada masa sama, dasar yang menggalakkan penaiktarafan bekalan rumah sedia ada dengan penambahbaikan penjimatan tenaga akan mengurangkan kos jangka panjang isi rumah bagi keluarga sambil melanjutkan jangka hayat hartanah lama.
“Oleh itu, Belanjawan 2026 bukan sekadar dokumen fiskal. Dengan memberi tumpuan kepada kemampuan, dan penyelarasan antara penawaran dan permintaan sebenar, dan menempatkan kelestarian dalam pembinaan perumahan, kerajaan boleh memastikan matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dapat diterjemahkan kepada hasil yang diinginkan,” katanya.
RMK13 menetapkan sasaran reformasi perumahan yang bercita-cita tinggi, termasuk menyediakan sejuta rumah mampu milik menjelang 2035.
-- BERNAMA