AM

SIDANG DEWAN RAKYAT BERMULA ISNIN, BELANJAWAN 2026 AGENDA UTAMA

04/10/2025 01:56 PM

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi agenda utama pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat, yang berlangsung selama 35 hari bermula Isnin ini hingga 4 Dis depan.

Menurut laman rasmi Parlimen, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan akan berlangsung pada 4 petang, 10 Okt ini.

Pembentangan Belanjawan 2026 boleh diikuti secara langsung menerusi siaran televisyen utama serta platform dalam talian seperti di YouTube Parlimen Malaysia.

Belanjawan itu merupakan belanjawan keempat Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang pertama bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Belanjawan 2026 akan menjadi asas serta landasan awal pelaksanaan RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menekankan pembangunan semula negara secara inklusif dan mampan.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, RUU Perbekalan 2026 dijadual dibahas pada peringkat dasar bermula 13 hingga 28 Okt sebelum jawapan oleh menteri-menteri selama empat hari bermula 29 Okt.

Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan perbahasan RUU itu pada peringkat jawatankuasa bermula 5 hingga 27 Nov untuk diluluskan Dewan Rakyat.

Selain Belanjawan 2026, persidangan Dewan Rakyat bakal menyaksikan pembentangan serta perbincangan beberapa RUU penting termasuk berkaitan buli.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini memaklumkan RUU Tribunal Antibuli dijangka dapat dibentangkan bulan ini selepas sesi libat urus selesai September lepas.

Selain itu, persidangan kali ini juga akan menyambung semula perbahasan RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 yang ditangguhkan dalam sidang Dewan Rakyat pada Ogos lepas.

Sementara itu, bercakap kepada Bernama, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mahu setiap Ahli Parlimen dapat menggunakan ruang perbahasan Belanjawan 2026 dengan penuh tanggungjawab, berasaskan fakta dan menyentuh soal kepentingan rakyat.

Beliau bersama kedua-dua timbalannya memberi jaminan untuk memastikan keseimbangan sepanjang persidangan dengan setiap Ahli Parlimen, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, diberikan ruang adil untuk menyuarakan pandangan masing-masing.

“Saya berharap pandangan yang dikemukakan bukan sahaja konstruktif, tetapi juga bersifat membina dan mampu memberikan cadangan praktikal yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan.

“Oleh itu, kami akan mengurus giliran berbahas secara telus dan saksama, supaya tiada suara yang diketepikan selain pendekatan pengurusan masa yang lebih berdisiplin, termasuk memberi garis panduan masa yang jelas kepada Ahli Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata Reformasi Parlimen kekal sebagai agenda utama di bawah kepimpinannya dan terus diterjemahkan dalam persidangan kali ini khususnya melaksanakan peranan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK).

Beliau berkata Dewan Rakyat telah meminda Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat pada 12 Ogos lepas bagi Peraturan Mesyuarat 80B, yang memperuntukkan tentang fungsi JKPK berkaitan kementerian untuk memainkan peranan memantau pelaksanaan belanjawan selepas diluluskan Parlimen.

Selain persidangan Dewan Rakyat, sidang Dewan Negara akan menyusul pada 1 Dis dan akan bersidang selama 12 hari.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan