MELAKA, 10 Okt (Bernama) -- Kejohanan ‘Fightnight Muaythai International' (FMI) 2.0 yang menghimpunkan hampir 400 atlet Muay Thai amatur dan profesional akan berlangsung di Dewan Tulip Freeport A’Famosa, Alor Gajah di sini selama tiga hari bermula 17 Okt ini.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Melaka (PMNM) Emrito@Haris Alias berkata kejohanan siri kedua itu akan menyaksikan tujuh pertarungan atlet profesional antarabangsa antaranya dari Malaysia iaitu Muhammad Ali Yaakub atau dikenali sebagai Md Ali yang akan berdepan jaguh dari Thailand, Kaunwan Lek dan Rashid Singa (Malaysia) menentang Shoxhrukh (Uzbekistan).
Beliau berkata perlawanan atlet profesional wanita negara Nur Amisha menentang jaguh Muay Thai dari Phuket, Thailand iaitu Chandara juga dijangka menjadi tumpuan peminat sukan berkenaan.
"FMI 2.0 dianjurkan dengan kerjasama Kelab Muaythai Kala Merah (KMKM), Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) dan Persatuan Muaythai Kuala Lumpur (PMKL) dengan kerjasama Kerajaan Melaka serta mendapat sokongan daripada Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
"Penganjuran kali ini mendapat sambutan luar jangkaan berbanding FMI 1.0 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Mei sekali gus menyebabkan perlawanan bagi kategori amatur perlu dianjurkan selama dua hari iaitu pada 17 dan 18 Okt dengan jangkaan 60 perlawanan sehari manakala kategori profesional hanya sehari iaitu pada 19 Okt membabitkan tujuh perlawanan," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata FMI 2.0 juga menyaksikan kelainan penganjurannya dengan pertarungan tinju antara Frederic Japri dari Tentera Darat dan jaguh negara, Muhammad Aliff Lihan.
Kejohanan kali ini, katanya menawarkan hadiah wang tunai lebih RM100,000 bagi kesemua perlawanan selain tujuh tali pinggang bagi kategori profesional.
Emrito berkata dianggarkan lebih 3,000 pengunjung dijangka menyaksikan perlawanan berkenaan sepanjang tiga hari itu dan mereka berpeluang menonton saingan amatur pada 17 dan 18 Okt secara percuma manakala bagi perlawanan profesional pada 19 Okt, penonton perlu membeli tiket berharga antara RM25 hingga RM60.
Beliau berkata FMI 2.0 bukan sekadar medan pertempuran sukan tetapi sebuah pentas perpaduan, pembangunan industri sukan khususnya untuk melahirkan atlet Sukan Malaysia (Sukma) Melaka yang akan menjadi wakil negeri sekali gus membuka ruang untuk bakat tempatan menyerlah ke peringkat lebih tinggi dalam sukan Muay Thai.
"FMI 2.0 juga mendapat sokongan Bahagian Promosi Pelancongan negeri dengan medan pertempuran ini akan menjadi platform mempromosikan pelancongan sukan menerusi pembabitan atlet antarabangsa seperti dari China, Indonesia, Iran, Thailand dan Singapura," katanya.
-- BERNAMA