KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Penyerang Negeri Sembilan FC Luqman Hakim Shamsudin muncul wira buat pasukannya, apabila meledak dua gol ketika menewaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi agresif dengan saling melancarkan serangan, serta mencipta beberapa percubaan tepat ke arah gawang, sebelum Luqman Hakim meledak gol pertama pada minit ke-36.
Luqman Hakim sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol Kelantan TRW Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri, yang gagal mengawal kemas tampanan bola di luar kotak penalti pada minit ke-49.
Kelantan TRW cuba bangkit dengan memperkemaskan jentera serangan, namun ketumpulan penyudah serta kekentalan barisan pertahanan NSFC memastikan keputusan kekal 2-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.
Di MELAKA, tuan rumah Melaka FC gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri, apabila tunduk 0-2 kepada Imigresen FC di Stadium Hang Jebat.
Pasukan pelawat mendahului menerusi Eduardo Jose Sosa Vegas pada minit ke-24, selepas menyambar bola muntah hasil percubaan Joao Pedro Boeira Duarte yang gagal dikawal kemas penjaga gol Melaka FC Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa.
Joao Pedro terus mempamerkan aksi yang berbisa, apabila meledak gol kedua pada minit ke-30 untuk meletakkan pasukan pelawat selesa mendahului 2-0 sebelum rehat babak pertama.
Aksi separuh masa kedua menyaksikan Melaka FC cuba bangkit dengan beberapa gerakan menyerang namun masih gagal menembusi pertahanan Imigresen FC, sekali gus menyaksikan keputusan 0-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, KL City FC berkongsi mata dengan Kuching City selepas terikat 1-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Pasukan pelawat berjaya membuka tirai jaringan menerusi Ronald Ngah Wanja pada minit ke-31, sebelum pasukan warga kota menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama menerusi Safawi Rasid.
Separuh masa kedua menyaksikan tiada sebarang gol berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan sekali gus menyaksikan KL City dan Kuching City seri 1-1 untuk berkongsi satu mata pada perlawanan berkenaan.
-- BERNAMA
