EKONOMI

SEJUMLAH KENDERAAN TERJEJAS SELEPAS ISI MINYAK, PETRONAS DAGANGAN HUBUNGI PELANGGAN TERLIBAT

25/12/2025 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Petronas Dagangan Bhd (PDB) memaklumkan sejumlah kenderaan terjejas selepas mengisi minyak di Stesen Petronas Samarahan Expressway di Kota Samarahan, Sarawak semalam.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata stesen tersebut bagaimanapun ditutup sementara bagi siasatan lanjut dan operasi bersambung semula pada hari yang sama.

“PDB ingin memberi jaminan kepada pelanggan kami iaitu stesen Petronas yang lain terus beroperasi seperti biasa dan tidak terjejas.

“PDB juga bertindak dengan menghubungi pelanggan yang terjejas dan mengambil langkah-langkah perlu bagi menyelesaikan perkara ini dengan segera,” kata syarikat berkenaan.

Syarikat itu berkata pihaknya memandang serius berhubung perkara ini serta memohon maaf dengan ikhlas kepada semua pelanggan terhadap sebarang kesulitan yang timbul.

Untuk bantuan segera, sila hubungi Mesralink di talian 1-300-88-8181.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan