NILAI, 26 Dis (Bernama) -- Agrobank memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk menjadikan Agrobank sebagai akaun rasmi kutipan infak di Negeri Sembilan, sekali gus memperkukuh pengurusan dana sosial Islam secara lebih sistematik dan telus.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen berterusan bank berkenaan dalam menyokong pembangunan sosioekonomi ummah serta memperkasakan tadbir urus dana kebajikan Islam.
“Penggunaan akaun Agrobank sebagai akaun rasmi kutipan infak ini mencerminkan kepercayaan diberikan kepada Agrobank dalam mengurus dana awam secara profesional, telus dan berintegriti.
“Dana sosial Islam bukan sahaja terhad kepada zakat dan wakaf, malah turut merangkumi instrumen lain seperti infak yang berperanan penting dalam menyokong keperluan komuniti serta kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Majlis penandatanganan Mou itu diadakan bersempena dengan pelancaran Dana Infaq Masjid Negeri Sembilan (Dana Iman9) anjuran MAINS yang disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di sini malam tadi.
Perjanjian berkenaan dimeterai oleh Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank Syed Hairul Anuar Syed Fadzil dan Pengerusi MAINS Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir dengan disaksikan Aminuddin.
Dalam pada itu, Tengku Ahmad Badli Shah berkata melalui penubuhan Dana Iman9, dana yang dikumpulkan akan dimanfaatkan khusus untuk pembangunan dan pemerkasaan institusi masjid sebagai pusat kegiatan keagamaan, pendidikan dan kemasyarakatan.
“Kerjasama ini menepati prinsip syariah sepenuhnya selaras dengan maqasid al-Shariah yang menekankan pemeliharaan agama dan harta serta infak merupakan ibadah yang digalakkan dalam al-Quran dan sunah,” katanya.
Beliau berkata menerusi pengurusan dana berlandaskan amanah dan ketelusan, Agrobank memastikan setiap transaksi bebas daripada unsur riba, gharar (ketidakjelasan) dan maysir (judi/spekulasi) sekali gus menjamin penggunaan dana untuk tujuan yang halal dan bermanfaat.
Inisiatif itu katanya, bukan sahaja memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab sosial melalui saluran perbankan yang selamat dan patuh syariah, tetapi juga memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan dan kesejahteraan ummah.
Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berkata Dana Iman9 mencerminkan iltizam dan komitmen berterusan MAINS dalam memperkasakan institusi masjid sebagai pembangunan ummah selain langkah jangka panjang memperkukuh kutipan infak secara lebih telus dan mampan.
“Seiring dengan agenda pendigitalan perkhidmatan awam dan kemudahan urusan rakyat, MAINS menjalin kerjasama strategik dengan Agrobank sebagai rakan pelaksana utama Dana Iman9 sekali gus memudahkan penyertaan masyarakat serta meningkatkan tahap ketelusan dan kecekapan tadbir urus dana,” katanya.
-- BERNAMA
