AM

21 RUMAH TERJEJAS BANJIR KILAT DI SIMPANG PULAI

26/12/2025 10:50 AM

IPOH, 26 Dis (Bernama) -- Sebanyak 21 rumah terjejas dan dimasuki air akibat banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan selama lebih kurang dua setengah jam di Lorong Pulai Raya 4, Simpang Pulai malam tadi.

Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kinta dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima panggilan pada 9.31 malam daripada pegawai operasi untuk membuat pemantauan di kawasan Simpang Pulai.

PKOD itu memaklumkan pasukan berkenaan tiba di lokasi pemantauan banjir di kawasan itu pada 10.28 malam sebelum pemantauan diteruskan bersama empat anggota polis dari Balai Polis Simpang Pulai.

“Jalan telah dinaiki air dan terputus hubungan. Punca banjir adalah kerana sistem saliran tersumbat disebabkan projek perumahan baharu,” menurut kenyataan itu.

Tahap sukatan air di kawasan itu menurun kepada 0.22 meter pada 1.09 pagi tadi setelah hujan berhenti.

PKOD berkenaan bagaimanapun memaklumkan tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini dengan kerja-kerja mengorek saliran tersumbat selesai dengan air telah surut.

Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Pulai Wong Chai Yi bersama pegawai dari Majlis Bandaraya Ipoh dilaporkan melawat kawasan yang terjejas berkenaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan